Home Pertahanan dan Keselamatan Guna dokumen meragukan, 19 PATI Myanmar dan Bangladesh ditahan

Guna dokumen meragukan, 19 PATI Myanmar dan Bangladesh ditahan

by Nurulhuda

ALOR SETAR, 9 Apr – Seramai 13 lelaki dan 6 wanita Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar serta Bangladesh telah ditahan dalam satu pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah feri penumpang di kedudukan 3.1 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah, pada Jumaat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot ronda APMM yang sedang melaksanakan rondaan rutin Op Aman diaturgerakkan ke lokasi berkenaan setelah menerima maklumat.

Beliau berkata, bot tersebut yang dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah ditahan pada pukul 10.16 pagi.

“Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas feri berkenaan, anggota penguat kuasa mendapati 16 warga Myanmar hanya memiliki salinan surat permohonan United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) yang meragukan,

“Ini kerana permohonan pemilikan kad terbabit telah dihentikan dan 3 lagi warga Bangladesh tidak memilki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Menurutnya, kesemua PATI terbabit ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

Noor Azreyanti menambah, mereka semua telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-dua sekali dan sebat tidak lebih dari 6 kali sebatan, jika disabit kesalahan.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, pihaknya turut mengalu-alukan orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!