KUALA LUMPUR, 6 Apr – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu terhadap jemaah dan pencerobohan ke Masjid Al-Aqsa oleh tentera rejim Israel, pada Rabu.
Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan, tindakan tentera Israel itu menyalahi undang-undang dan mencabuli hak asasi manusia Palestin serta kesucian masjid itu.
“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), supaya rejim Israel bertanggungjawab ke atas jenayah keji itu dan mereka segera membebaskan semua tahanan Palestin,
“Masyarakat antarabangsa mesti menuntut rejim Israel untuk segera menghentikan sebarang tindakan provokatif demi keamanan dan kestabilan,” jelas Wisma Putra dalam kenyataan, hari ini.
Sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin cedera dan ratusan yang lain telah ditahan.
Tambah Wisma Putra, Malaysia akan teguh berdiri dan bersolidariti dengan rakyat Palestin dan mengulangi status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak Suci Umat Islam.
“Malaysia juga berpegang teguh dengan pendiriannya selama ini bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan sebuah negara yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” tambah kenyataan itu lagi.
Pada Rabu, media melaporkan, Tentera Israel menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki dan menyerang jemaah Palestin.
Tentera Israel dilaporkan berkata menyerbu Dewan Solat Al-Qibli selepas solat tarawih, melepaskan bom tangan dan memukul jemaah Palestin.-airtimes.my