PELABUHAN KLANG, 6 Apr – Seorang tekong bersama 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor kerana disyaki memasuki negara ini secara haram, di Perairan Sungai Klanang, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pada jam 2.30 pagi itu berlaku di kedudukan 1.6 batu nautika barat daya Pantai Klanang, Selangor.
Pengarah APMM Negeri Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, berdasarkan maklumat hasil risikan yang diterima, sebuah bot ronda diaturgerakkan bagi memintas vesel tersebut.
“Menyedari kehadiran pihak berkuasa bot itu cuba meloloskan diri dan berlaku adegan kejar mengejar hampir 30 minit sebelum terkandas dan hampir tenggelam, insiden ini membawa kepada penahanan bot itu pada pukul 2.30 pagi,” jelasnya dalam kenyataan pada hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong dan 2 kru warga Indonesia berumur 48 dan 60 tahun tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah dipercayai dari Tanjung Balai, Indonesia.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat 11 penumpang lelaki dan 5 wanita dalam lingkungan umur 26 hingga 53 tahun tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah berada di geladak tengah bot yang hampir tenggelam ketika ditahan,
“Bot yang bocor tidak dapat diselamatkan dan tenggelam di lokasi tangkapan manakala kesemua PATI yang ditahan telah dipindahkan ke bot ronda APMM sebelum dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut,” jelasnya lagi.
Tambahnya, salah seorang PATI berkata, bayaran yang dikenakan untuk satu perjalanan menyeludup masuk dengan cara ini dianggarkan sebanyak RM1,500 seorang.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1953/63 kerana masuk dan keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) kerana membawa masuk atau keluar PATI.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, pihaknya akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan insiden yang berlaku di laut ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” ujarnya lagi. -airtimes.my