KUALA LUMPUR, 5 Apr – Persatuan veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menuntut kerajaan untuk memberi penjelasan berhubung kekeliruan mengenai peruntukan kewangan bagi isu pelarasan pencen.
Presiden PVATM, Datuk Sharuddin Omar berkata, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menyatakan bahawa kerajaan tidak mampu melaksanakan pelarasan pencen anggota berikutan tidak mempunyai peruntukan kewangan yang mencukupi.
Sementara itu, pihak Kumpulan Wang Amanah Pesara (KWAP) sebelum ini pula pernah menegaskan bahawa terdapat RM136 bilion pada tahun 2022 dalam simpanan KWAP yang bersedia untuk membayar pencen berkenaan atas arahan kerajaan persekutuan.
Namun, beliau berkata, sehingga kini ia masih tidak dilaksanakan.
“Jadi disini timbul kegusaran dan kekeliruan bagi pihak kami dan seluruh veteran di negara ini yang mana satu yang betul?
“Ada pihak menyatakan memang kerajaan mengakui perkhidmatan tentera berbeza, dalam masa yang sama kerajaan menyatakan akan membayar tetapi tidak mempunyai peruntukan kewangan yang mencukupi,
“Manakala, 1 badan kerajaan yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi memegang amanah ini menyatakan bahawa duit ada, tapi tunggu arahan,
“Kami pihak veteran rasa terpanggil untuk menyuarakan kegusaran kami yang mana satu yang betul. Jadi, berilah kami satu penjelasan atau tindakan yang membolehkan ahli-ahli yang terlibat ini mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya kepada pemberita di Wisma Pahlawan, hari ini.
Sharuddin turut berharap kerajaan dapat menyelesaikan isu ini dengan kadar segera bagi membantu golongan yang terkesan.
Jelasnya kerana, isu pembelaan ini tidak melibatkan kesemua penerima pencen kerana hanya 78,546 veteran iaitu 59.13 peratus daripada 134,682 sahaja yang menuntut pelarasan pencen ini.
“Mereka inilah yang perlu untuk dibela kerana mereka berpencen sebelum tahun 2013,
“Daripada jumlah 78,546 tersebut, ianya terbahagi kepada 2 kategori iaitu pegawai 6.67 % iaitu 5,313 orang, manakala anggota melibatkan seramai 73,233 atau 93.24 % dan ia perlu disedari golongan anggota merupakan jumlah yang besar dan penerima pencen yang kecil,
“Dan mereka yang telah berpencen ini kebanyakkan mereka sudah mencecah umur 70 tahun. Kebanyakkan mereka juga ada yang telah meninggal dunia. Yang seharusnya mereka dibela untuk mendapat pembelaan tetapi tidak sempat untuk menerima pelarasan pencen ini,” ujarnya lagi.
Sejak awal bulan lalu, isu veteran di dalam negara menjadi salah satu hujah yang turut dibangkitkan dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat.
Selain itu, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat menjelaskan, isu pelarasan pencen warga ATM ini akan melibatkan implikasi kewangan yang besar dan pihak Kementerian Pertahanan akan memasukan ia dalam Balanjawan tahun 2024.
Beliau turut menjelaskan, penyelarasan pencen ini perlu dilakukan dengan penuh teliti dan tidak boleh dibuat secara bidan terjun. -airtimes.my