KUALA LUMPUR, 5 APRIL – Tiada penyelesaian mudah bagi tuntutan bertindih wilayah di Laut China Selatan tetapi masalah itu bukanlah satu yang tidak dapat diatasi selagi ada ruang dialog, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temu bual dengan China Daily, semasa lawatannya ke China minggu lalu.
Dalam temu bual dengan syarikat media berbahasa Inggeris terbesar di China itu dan diterbitkan pada Selasa (4 April), Anwar menegaskan isu Laut China Selatan tidak seharusnya menjadi “isu besar” dan dialog dengan negara-negara ASEAN lain yang turut menuntut hasil sumber laut itu harus dilihat sebagai jalan penyelesaian.
“Saya telah menyatakan bahawa kita mempunyai potensi minyak dan gas di kawasan itu dan kita perlu meneruskan tuntutan di kawasan itu tetapi pihak China mahu membincangkannya, jadi kita berbincang.
“Saya percaya tiada penyelesaian mudah untuk masalah itu. Sambil kita menganggap satu sama lain sebagai kawan, kita terus berdialog, masalah ini bukanlah satu yang tidak boleh diatasi,” katanya.
Anwar berkata beliau gembira kepimpinan China juga bersetuju untuk terlibat dalam sesi dialog dan mewujudkan kesefahaman yang perlu mengenai isu itu.
“Saya akan katakan perkara yang kita persetujui ialah 95 peratus, dan lima (peratus) kita tidak bersetuju, ia tidak sepatutnya menimbulkan masalah,” kata Anwar.
Dalam temu bual itu, Anwar turut menekankan bahawa rantau Asia Tenggara harus terus diterajui ASEAN berteraskan dasar berkecuali dan zon aman kumpulan itu, di samping menjalin hubungan baik dengan semua negara.
“ASEAN konsisten dalam memastikan kita terus menjalin hubungan baik dengan semua negara.
“Pendirian ASEAN adalah untuk terus mengadakan penglibatan dialog yang rancak dan mantap dengan China, kerana ia memberi manfaat bukan sahaja kepada Malaysia tetapi semua negara ASEAN,” katanya.
Anwar juga berpendapat bahawa negara-negara anggota ASEAN perlu bersatu dan mencapai persetujuan mengenai isu-isu yang utama mempengaruhi rantau itu.
“Saya juga katakan tidak kepada AUKUS. Kami mempunyai kebimbangan khusus mengenainya kerana ia mungkin meningkatkan ketegangan di rantau ini. Jika tidak kedudukan kami kekal sama,” katanya merujuk kepada pakatan keselamatan antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang diwujudkan untuk mengekang pengaruh China di rantau itu.
“Pendirian kami sentiasa berhubung, sentiasa mengadakan dialog,” tegasnya.
Mengenai ekonomi, Anwar berkata beliau berharap lawatannya ke China akan membuka peluang baharu untuk mempergiatkan lagi perdagangan dengan China.
“China adalah jiran penting, rakan dagang yang penting dan diharapkan kita juga dapat memanfaatkannya untuk memajukan potensi ekonomi kita,” katanya.
Semasa lawatannya ke China, Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi berjumlah RM170 bilion daripada China hasil pemeteraian 19 memorandum persefahaman antara syarikat kedua-dua negara dalam pelbagai sektor termasuk teknologi hijau, ekonomi digital, pertanian dan pembinaan.
“Itu menunjukkan sejauh mana keyakinan dan kepercayaan pihak kerajaan dan syarikat China terhadap Malaysia,” katanya.
Dalam lawatan tiga hari beliau ke Beijing, perdana menteri telah mengadakan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping dan perdana menteri Li Qiang. – BERNAMA