Home Pertahanan dan Keselamatan Nelayan tempatan bersama kru warga Indonesia ditahan

Nelayan tempatan bersama kru warga Indonesia ditahan

by Muaz Rizqi

BINTULU, 3 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah bot nelayan tempatan yang sedang leka melakukan aktiviti penangkapan ikan di luar zon yang dibenarkan iaitu pada jarak lebih kurang 9.6 batu nautika dari Simalajau sekitar pukul 9.00 pagi, Sabtu lalu.

Pengarah APMM Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot samaran yang ditugaskan membuat pemantauan di kawasan yang menjadi hotspot nelayan bagi melakukan aktiviti menangkap ikan telah mengesan sebuah bot sedang menunda dalam keadaan yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, berdasarkan kepada syarat yang ditetapkan di dalam Buku Lesen, jarak yang dibenarkan daripada pantai adalah 12 batu nautika,

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan dan 5 orang kru warga Indonesia,” tambahnya lagi.

Mohd Khairol berkata, seorang kru yang ditahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah manakala 4 yang lain disyaki menyalahgunakan pass/permit yang telah diberikan dan kesemua kru yang ditahan berumur dalam lingkungan 28 hingga 56 tahun.

“Muatan hasil laut seperti ikan campur berjumlah lebih kurang 300 kilogram yang dipercayai baru ditangkap berjaya disita bersama-sama dengan vesel, peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM500 ribu,

“Kesemua kru beserta bot nelayan ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan yang mana boleh dikenakan kompaun daripada Jabatan Perikanan Malaysia,” ujarnya lagi.

Orang ramai turut diminta untuk melaporkan segera sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam. -airtimes.

Related Articles

Leave a Reply