Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut KD PAUS bantu 11 warga Malaysia hanyut ke perairan Filipina

KD PAUS bantu 11 warga Malaysia hanyut ke perairan Filipina

by Muaz Rizqi

SANDAKAN, 3 Apr – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) telah membantu membawa pulang 11 warga Malaysia selepas bot yang dinaiki mereka terbalik dan hanyut ke perairan Filipina.

Menerusi satu kenyataan, TLDM menjelaskan, Kapal Dagang TOMINI DYNASTY telah menjumpai 11 orang warga Malaysia di Perairan Sibutu, Filipina.

Kemudian, Kapal Diraja PAUS (KD PAUS) telah diatur gerak ke lokasi berkenaan memandangkan kapal tersebut dalam penugasan Operasi Pasri Selatan di sekitar Perairan Tanjung Labian.

“Anggota telah diatur gerak bersama aset KD Paus bagi melaksanakan pertemuan bersama kapal dagang TOMINI DYNASTY di posisi sekitar 8 batu nautika Selatan Tanjung Labian untuk mengambil kesemua mangsa yang terlibat,” ujar TLDM pada Sabtu.

Mangsa yang dikenali sebagai Siti Naun Osman, 25 tahun memaklumkan beliau bersama 10 lagi mangsa yang terdiri daripada 5 wanita, 2 lelaki dan 3 kanak-kanak dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna pada sebelah malam 29 Mac dan bot yang dinaiki mereka telah terbalik dipukul ombak yang kuat.

Namun, kesemua mangsa terpaksa bertahan selama 3 hari di atas bot yang terbalik tersebut.

Menurut TLDM, kru KD Paus telah membawa mangsa ke Pulau Tambisan dan diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

Dalam masa yang sama, pihak TLDM mengingatkan kepada orang ramai agar sentiasa peka dengan keselamatan diri, penumpang dan harta benda semasa berada di laut bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply