Home Pertahanan dan Keselamatan Turkiye: Berdepan gegaran susulan, bukan halangan laksana misi ulang bekal ubat-ubatan

Turkiye: Berdepan gegaran susulan, bukan halangan laksana misi ulang bekal ubat-ubatan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Terpaksa melalui perjalanan berbukit selama hampir sejam serta berhadapan gegaran susulan, tidak pernah mematahkan semangat para petugas Hospital Medan Malaysia (HMM) sepanjang melaksakan misi tersebut di Turkiye.

Pegawai Farmasi HMM, Kapten Muhammad Amir Ehsan Zamri menjelaskan, tim farmasinya sentiasa bersemangat untuk membantu mangsa gempa bumi berkenaan meskipun, terpaksa menempuh perjalanan yang lama bagi memastikan bekalan ubat-uabatan mencukupi.

“Setiap kali hendak membuat misi ulang bekal ubat-ubatan, kami perlu menempuhi perjalanan selama sejam ke Hospital Adiyaman. Hospital tersebut berada di bawah kawasan kaki bukit,

“Perajalanan ke sana kena menempuhi bukit-bukau. Kami juga berhadapan dengan kesan runtuhan, sedikit sebanyak memberi cabaran untuk membuat ulang bekal,

“Ulang bekal akan dilakukan seminggu sekali, disebabkan jalan yang dilalui berbukit-bukau dan ada runtuhan. Sekali sekala terasa juga gegaran susulan hampir setiap hari dalam masa seminggu,” jelasnya kepada pemberita baru-baru ini.

Menurutnya, pengalaman ketika bertugas di Turkiye tersebut menjadi salah satu kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Selain misi ulang bekal yang mencabar, perbezaan komunikasi juga menjadi salah satu halangan kepada petugas ketika membuat urusan disana.

Namun, Muhammad Amir menjelaskan, perkara tersebut dapat diselesaikan dalam masa yang singkat bagi memudahkan urusan membantu mangsa gempa bumi itu.

“Masalah bahasa dapat diatasi dengan mempelajari bahasa Turkiye bagi memudahkan membuat urusan memberi rawatan dan perkhidmatan kepada mangsa,

“Kami di Jabatan Farmasi amat komited untuk mempelajari bahasa Turkiye supaya pesakit merasa dihargai dan dengan penggunaan bahasa tempatan akan lebih mesra serta mudah berurusan,” jelasnya lagi.

Seramai 110 pegawai dan anggota terdiri 14 pakar perkhidmatan klinikal, 14 pegawai perubatan, 58 petugas kesihatan dan 23 petugas sokongan bergambar bersama selepas selamat tiba di KLIA Terminal 1 pada Selasa lalu.

Dalam masa yang sama, pegawai yang telah berkhidmat selama 5 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini turut meluahkan rasa bangga dan bersyukur kerana dapat membantu mangsa dempa bumi di bumi Turkiye.

Pada 28 Mac lalu, seramai 110 pegawai dan anggota Tim Misi Operasi Starlight II yang bertugas selama 6 minggu di HMM bagi menghulur bantuan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye, selamat kembali ke tanah air.

HMM mula diaktifkan pada 9 Februari lepas dan terletak di Celikhan, Aditaman iaitu kira-kira 152 kilometer dari Gaziantep, kawasan paling terjejas akibat gempa bumi Turkiye.

Penugasan HMM tamat pada 23 Mac lalu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply