Home Semasa Najib kekal dipenjara, Mahkamah Persekutuan tolak permohonan semak kes SRC

Najib kekal dipenjara, Mahkamah Persekutuan tolak permohonan semak kes SRC

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak sabitan dan hukumannya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, pada Jumaat.

Ini bermaksud, bekas Perdana Menteri itu kekal menjalani baki tempoh penjara 12 tahun di Penjara Kajang, melainkan beliau mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Prosiding ini didengar oleh lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Pada 28 Julai 2020, Najib disabitkan oleh Hakim Nazlan Ghazali, yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) ke atas dana SRC berjumlah RM42 juta.

Rayuannya kepada Mahkamah Rayuan telah ditolak pada 8 Dis 2021.

Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, sejurus selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.

Dilaporkan, Najib sudah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan pada 2 September 2022.

Terdahulu, Najib tiba di Mahkamah Persekutuan bagi mendengar keputusan terhadap permohonannya pada jam 8.36 pagi tadi dengan diiringi kenderaan polis dan pegawai Jabatan Penjara.

Isteri beliau, Rosmah Mansor turut kelihatan, selain anak mereka Nooryana dan Nazifuddin. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply