SUBANG, 30 Mac 23 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan penerbangan ihsan membawa pesakit dari Pangkalan Udara Subang ke Kota Kinabalu, Sabah bagi mendapatkan rawatan segera di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.
Pihak TUDM memaklumkan, pesakit, Azwa Azira Jaipen @ Mohd Fadzil, 24 tahun yang mengalami penyakit Pulmonary Tuberculosis dan Severe HIE with myoclonic jerk diterbangkan dengan menggunakan pesawat angkut C-130H dari No 20 Skuadron, Pangkalan Udara Subang pada Selasa.
Pesawat telah diterbangkan oleh Mejar Ravin a/l Vijayan TUDM serta dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Mohamad Azri Fikri Mohd Nizam TUDM.
Pesawat C-130H tersebut berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada jam 6.50 pagi dan selamat tiba di Kota Kinabalu pada jam 10.50 pagi seterusnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.
“Penerbangan juga melibatkan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia,” jelas TUDM lagi. -airtimes.my