Home Semasa Ketua Menteri Melaka baharu angkat sumpah esok

Ketua Menteri Melaka baharu angkat sumpah esok

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam telah menerima surat peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka ke 12, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan Perenggan (a), Fasal 2, Perkara 7, Perlembagaan Negeri Melaka, Yang di-Pertua Negeri hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka.

“Justeru, Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka ke 13 dijadual berlangsung pada jam 3 petang, 31 Mac 2023 di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, pada jam 3 petang,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Lendu itu telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, Sulaiman telah menyerahkan surat peletakan jawatan itu pada pertemuan di pejabatnya di Parlimen, pada Selasa.

Bagaimanapun sehingga kini tidak didedahkan siapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal dilantik sebagai Ketua Menteri Baharu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!