Home Semasa 542 PATI Filipina dihantar pulang ke negara asal

542 PATI Filipina dihantar pulang ke negara asal

by Nurulhuda

SANDAKAN, 30 Mac – Seramai 542 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 8, melalui Pelabuhan Sandakan semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, kesemua warga asing itu sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Tawau.

Menurutnya, mereka semua dihantar ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menggunakan pengangkutan laut iaitu Feri MV Antonia 1.

Beliau berkata, kesemua individu itu membabitkan seramai 422 lelaki, 92 wanita dan 28 kanak-kanak.

“Jumlah pecahan mengikut usia bagi kanak-kanak dalam pengusiran kali ini adalah membabitkan 23 bulan hingga 12 tahun. Bagi dewasa, daripada usia 13 tahun hingga 78 tahun,

“Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu/bapa/penjaga masing-masing,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah SH Sitti Saleha, warga asing terbabit ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Jelasnya, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga kepada tindakan pemindahan keluar dari negara ini.

“Oleh itu, semua warga asing diingatkan supaya memastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah,

“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua depot imigresen di Sabah.

“JIM Sabah berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam operasi pengusiran ini, khususnya kerajaan negeri Sabah dan Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM), ESSCOM serta agensi berkaitan,” katanya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply