KOTA TINGGI, 29 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah bot gentian kaca dan 5 lelaki disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kerana memasuki perairan negara secara haram di perairan Tanjung Bulat awal pagi tadi.
Pemangku Pengarah APMM Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib berkata, hasil maklumat awam yang diterima, pasukan APMM bergegas ke lokasi dan berjaya memintas bot tersebut dan seterusnya berjaya ditahan sekitar jam 5.00 pagi di kedudukan 0.3 batu nautika timur Tanjung Bulat.
“Pemeriksaan ke atas bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran tersebut menggunakan enjin jenis Yamaha 40 kuasa kuda serta mendapati seramai 5 lelaki warga Indonesia berumur antara 23 hingga 53 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,
“Bot dan kesemua PATI seterusnya ditahan untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu cuba keluar atau masuk Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan dan menjalankan aktiviti penyeludupan migran yang mana jika didapati bersalah suspek boleh didenda tidak melebihi RM250 ribu atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-dua sekali,” tambahnya lagi.
Mohd Najib menegaskan dan menasihati warga Indonesia yang ingin datang ke Malaysia atau pulang ke kampung halaman terutamanya pada musim perayaan supaya menggunakan laluan yang sah mengikut undang-undang tanpa perlu menggadai nyawa.
“APMM juga sentiasa serius dalam menangani jenayah dan keselamatan perairan negara,
“Rondaan dan penguatkuasaan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti penyeludupan migran yang menggunakan laluan laut sebagai jalan masuk dan keluar terutamanya menjelang musim perayaan yang bakal tiba,” ujarnya.
Orang ramai khasnya komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat mengenai jenayah atau kemalangan di laut sila laporkan segera di talian 07-8916591 Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili. -airtimes