PASIR PUTIH, 29 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan berjaya menahan 4 bot nelayan Vietnam dalam operasi berasingan dalam pelaksanaan OP NAGA BARAT, OP KUDA LAUT dan OP DAMAI di sekitar kawasan Tok Bali sepanjang minggu lalu.
Pengarah APMM Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli berkata, 2 bot ditahan oleh pasukan peronda APMM pada 20 Mac manakala 2 lagi dilakukan oleh KM JUJUR pada 22 Mac 23.
“Pada 20 Mac lalu semasa anggota APMM melaksanakan rutin rondaan, 2 bot nelayan asing yang disyaki dari Negara Vietnam dikesan di antara jam 3.45 hingga 4.00 petang pada kedudukan 64 batu nautika dari Muara Tok Bali,
“Hasil pemeriksaan awal, bot pertama dikendalikan 5 kru termasuk tekong manakala bot kedua dikendalikan 2 kru termasuk tekong dan kesemua mereka yang ditahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta bot tidak mempunyai permit menangkap ikan daripada Pengarah Perikanan,
“Kedua-dua bot yang ditahan mengambil masa 16 jam untuk diiring oleh bot peronda APMM ke Jeti Maritim Negeri Kelantan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.” katanya dalam sebuah kenyataan.
Nor Adli berkata, 2 tangkapan seterusnya yang dilakukan KM JUJUR adalah pada 22 Mac lalu berdasarkan hasil maklumat sulit yang diterima daripada pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Tambahnya lagi, bot pertama ditahan pada sekitar jam 8.45 pagi pada jarak lebih kurang 180 batu nautika dari Muara Tok Bali,
Sementara itu, hasil pemeriksaan awal mendapati seramai 6 kru termasuk tekong warga Vietnam yang berada di atas bot.
Manakala bot kedua ditahan pada sekitar jam 10.57 pagi bersama 18 kru termasuk tekong di atas bot pada kedudukan 170 batu nautika dari Muara Tok Bali.
“Kedua-dua bot juga melakukan kesalahan yang sama iaitu kru bot tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan tiada permit menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985,
“Menurut Kepten Maritim Nor Adli ketika penahanan dibuat, keempat-empat bot berkenaan tidak memberikan kerjasama dan cuba meloloskan diri ke sempadan Vietnam namun berjaya dipintas,
“Kesemua 31 warga Vietnam daripada 4 bot yang ditahan adalah dalam lingkungan umur 14 hingga 64 tahun,” ujarnya lagi.
Jumlah hasil rampasan keempat – empat bot berkenaan dianggarkan bernilai RM4.2 juta merangkumi peranti navigasi, peralatan menangkap ikan, hasil perikanan kira-kira 1,000 kilogram dan bekalan diesel 9,200 liter.
Dalam masa yang sama beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16 (3) akta yang sama kerana gagal memberitahu pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.
“Sabitan di atas kedua-dua kesalahan itu boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600 ribu ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985,
“Bot dan peralatan menangkap ikan boleh dilucuthak kepada kerajaan Malaysia jika sabit kesalahan serta esemua kru juga disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” tegasnya lagi.
Sebarang maklumat berkenaan penguatkuasaan dan carilamat, orang ramai boleh menghubungi MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-778 0070 untuk maklum balas segera. -airtimes