[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=yfHmZA_gRMU[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 27 Mac – Penyelarasan pencen kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diusahakan sekiranya kewangan untuk menampung perbelanjaan tersebut mencukupi.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menjelaskan, ia kerana penyelarasan pencen ini akan melibatkan implikasi peruntukan yang besar berikutan jumlah veteran ATM yang terlibat.
“Kalau kita hendak selaraskan pencen veteran, kita akan berusaha untuk pastikan kemampuan kewangan,
“Sebab itu kerajaan perlu ada kemampuan kewangan yang menjadi teras paling utama dalam menyelesaikan masalah ini,
“Setiap RM100 yang ingin ditambah kepada pencen veteran ini akan melibatkan RM107 juta setahun,
“Sebab itu selama ini tidak boleh berlaku, kerana kewangan kita tidak diberikan tumpuan yang sebenar, kerana tidak ada duit yang cukup,
“Sebab itu saya yakin, kalau dengan modal Kerajaan Madani ini, kalau kita berjimat cermat, kalau kita beri tumpuan, insya Allah boleh,” jelasnya pada sesi penggulungan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023 Peringkat Jawatankuasa Bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Alor Gajah itu turut menjelaskan, Kementerian Pertahanan kini sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut termasuk isu-isu lain yang berkaitan dengan veteran ATM.
“Ia banyak bergantung kepada kemampuan. Berpuluh tahun kita bercakap atau perjuangkan isu veteran. Apakah kita tak boleh? Boleh, kalau kita ada kesungguhan,
“Bila hendak selesaikan isu veteran ini, bukan hanya 1 sudut yang harus diselesaikan. Isu kebajikan, kesihatan, begitu dengan pendidikan anak-anak veteran – itu antara perkara-perkara yang harus kementerian ambil kira,
“Sebab itu apabila kita hendak menyelesaikan masalah tersebut, kita bukan hanya selesaikan satu sudut. Semua persoalan harus dikaji dan diselesaikan. Insya Allah kerajaan akan berusaha selesaikan,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim turut mencelah dan menggesa supaya kerajaan untuk memberikan bantuan kewangan sekurang-kurangnya RM500 kepada golongan pencen ATM yang telah berkorban mempertaruhkan nyawa demi kedaulatan negara.
Menjawab celahan Shahidan, Adly menjelaskan kerajaan Madani sekarang telah melaksanakan salah satu langkah bagi membantu veteran ATM dengan menaikkan Bajet 2023 kepada veteran sebanyak RM118 juta. -airtimes.my