KUALA LUMPUR, 24 Mac – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mengingatkan bangsa Johor perlu menolak sebarang bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.
Baginda bertitah menegaskan jangan ada pihak yang mencuba sebarang usaha untuk memecahbelahkan jambatan perpaduan Bangsa Johor.
“Sejak dahulu lagi, saya sentiasa menitikberatkan dan mengingatkan semua bahawa persefahaman dan saling hormat-menghormati antara kaum menjadi tunjang perpaduan Bangsa Johor,
“Konsep Bangsa Johor adalah menyatukan semua rakyat Johor terdiri daripada pelbagai kaum dan kekal diamalkan sekian lama di negeri ini,
“Saya memberi amaran jangan ada cubaan daripada mana-mana pihak yang mahu memecahbelahkan jambatan perpaduan Bangsa Johor,” titah Baginda.
Sultan Johor bertitah demikian bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada Khamis.
Dalam hantaran yang sama, Baginda bertitah agar Bangsa Johor yang kekal harmoni dan bersatu-padu bukan sahaja menjadikan masyarakatnya lebih baik, malah telah membawa kemakmuran kepada negeri ini.
“Jauhilah sifat hasad dengki, dendam dan buruk sangka kerana ia merupakan satu penyakit merbahaya yang hanya mengundang keburukan kepada masyarakat dan negara,” titah Baginda.
Pada masa yang sama, Baginda turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas penyaluran peruntukan besar kepada Johor di dalam Belanjawan 2023.
“Alhamdulillah di atas peruntukan yang diberikan dan moga hubungan baik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terus diperkukuhkan demi kemakmuran negeri serta rakyatnya,” titah Baginda lagi. -airtimes.my