KUALA LUMPUR, 23 MAC – Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) menegaskan perolehan jet pejuang FA-50 dari Korea Selatan tidak melibatkan sebarang orang tengah.
Menurutnya, perolehan Fighter Lead-in Traineer/Light Combat AIrcraft (FLIT/LCA) dilaksanakan secara tender terbuka.
“Perolehan 18 pesawat FLIT/LCA telah dilaksanakan secara Tender Terbuka Antarabangsa, tanpa melibatkan sebarang pelantikan syarikat perantara,” kata pihak MINDEF dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew.
Oscar bertanyakan perolehan pesawat tersebut sama ada melibatkan syarikat perantara.
Pada masa yang sama, MINDEF menjelaskan Surat Setuju Terima (SST) telah ditandatangani pada 24 Februari lalu.
“Perolehan 18 buah FLIT/LCA dengan syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) melibatkan kos pembelian berjumlah RM3.8 billion untuk tempoh 5 tahun,
“Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka akan menerima pesawat pertama pada tahun 202,” kata jawapan itu.
FLIT/LCA merupakan salah satu komponen Pelan Keupayaan 2055 (CAP55) yang digariskan oleh TUDM. Di bawah pelan ini, sebanyak 36 buah pesawat FLIT/LCA diperlukan oleh angkatan udara negara.
Perolehan 36 buah pesawat tersebut dilakukan secara berfasa. – airtimes.my