Dalam artikel yang lalu, penulis telah mengulas secara ringkas perolehan Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2) dari luar negara dan menyingkap serba sedikit tentang Pelan Transformasi 15-to-5.
Pada bahagian akhir artikel bersiri ini, penulis akan mengupas serba sedikit apakah LMS dari sudut rancangan ini. Selain itu, isu kelewatan Kapal Tempur Pesisir yang kemudiannya membawa kesan domino kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan kemudiannya membawa kepada perubahan 15-to-5.
LMS dalam 5 kelas 15-to-5 dan industri pertahanan negara
Seperti yang kita sedia maklum, pelan transformasi ini menggariskan 5 kelas kapal untuk TLDM iaitu Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS), LMS, kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS), kapal peronda generasi baharu (NGPV) dan kapal selam.
Melalui pelan ini, LCS dilihat sebagai peneraju ketumbukan utama armada dengan melihat keupayaannya dalam mendepani ancaman dari 3 dimensi. Peranan kombatan dalam armada turut diisi oleh kapal selam dan MRSS. Ia disokong oleh NPGV yang digariskan mempunyai fleksibiliti untuk ditingkat upaya sebagai sebuah kovet.
Selain daripada itu, NGPV turut melaksanakan peranan konstabulari (penguatkuasaan) semasa aman bersama LMS. LMS pula ditakrifkan sebagai kapal ronda bersaiz besar.
Menurut dokumen itu juga, LMS ditakrifkan untuk modular dan mempunyai kemampuan tempur sebagai sebuah kovet semasa krisis.
Selain daripada itu, dokumen ini turut menyatakan pembinaan kapal dalam negara merupakan salah satu tonggak pelan ini.
“Pelan ini akan membantu kerajaan melaksanakannya komitmen untuk mengukuhkan TLDM. Pada masa yang sama usaha itu akan menyediakan pekerjaan, mewujudkan industri berasaskan teknologi tinggi baharu dan membantu membina industri yang kukuh, mampan dan industri pembinaan kapal tempatan yang inovatif,
“Kapal yang dibina secara tempatan bermakna TLDM akan mempunyai lebih kawalan ke atas kos pemilikan jangka panjang dan meminimumkan pergantungan pada dan risiko hala tuju industri asing,” jelas dokumen itu.
Menurutnya, komitmen pelan ini menjadikan TLDM sebagai peneraju dan kunci utama terhadap kemajuan industri limbungan kapal tempatan.
“Secara mudah, transformasi TLDM ini bukan sahaja memberikan keupayaan dan kemampuan kepada kerajaan Malaysia untuk mendepani cabaran di domain maritim,
“Ia turut memainkan peranan secara aktif untuk meningkatkan ekonomi negara, pembangunan sosial dan kesejahteraan umum,” katanya.
LCS dan LMSB2 jadi punca perubahan?
Umum mengetahui isu pembinaan kapal LCS menjadi isu hangat semenjak ia diketengahkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada tahun lalu. Selain daripada itu, persoalan sama ada dalang di sebalik penyelewengan ini telah ditangkap serta didakwa seringkali dibangkitkan di mana sahaja – dari alam maya sehingga ke Dewan Rakyat.
Melihat persoalan ini, pada hemat penulis, mungkin agak cliche, ia terserah kepada pihak berkuasa untuk mengumpul bukti, menangkap dan mendakwa mereka yang terlibat. Ini kerana perkara ini adalah dalam bidang penguatkuasaan dan sudah tentu permainan sentimen akan mewarnai siasatan ini.
Pun begitu, realiti LCS lambat siap adalah jelas dan nyata. Ia umpama luka yang kedua untuk TLDM selepas isu NGPV pada satu ketika dahulu. Malah, matlamat perolehan NGPV yang sepatutnya menggantikan kapal-kapal yang dioperasikan semenjak 1970-an tidak dapat mencapai matlamat.
Selain daripada itu, TLDM terpaksa mencari jalan untuk memastikan aset-aset sedia ada untuk terus beroperasi demi memenuhi komitmen pertahanan maritim negara. Malah, situasi agak mendesak memandangkan kelewatan LCS meninggalkan jurang keupayaan kombatan TLDM.
Sebelum ini, Air Times ada melaporkan jangkaan bilangan keupayaan kombatan TLDM berdasarkan sumber terbuka. Namun begitu, masih belum terlambat untuk memperbaiki keadaan memandangkan Kerajaan Malaysia perlu mengorak langkah ke hadapan.
Namun begitu, keputusan kerajaan untuk memperolehi LMSB2 dari luar negara menandakan pelan 15-to-5 akan mengalami perubahan. Mungkin ia tidak drastik tetapi boleh dikatakan beberapa perkara yang dirancang dalam 15-to-5 sebelum ini tidak dapat dipenuhi.
Pertamanya adalah kekemasan aset permukaan TLDM sedikit berubah. Ini kerana 4 LMS yang pertama dibina di China manakala LMSB2 dijangka akan dibina di Turkiye (sekiranya kerajaan telah muktamadkan pilihan). Perubahan drastik ini secara jelas berbeza dengan matlamat asal 15-to-5 untuk mengurangkan kepelbagaian jenis aset dan negara pengeluar.
Kedua, matlamat untuk membina kapal di dalam negara. Faktor ini sudah tentu menerima reaksi bercampur-campur dari rakyat Malaysia.
Pada ketika ini, Kementerian Pertahanan Malaysia telah pun merancang untuk melancarkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN). Mungkin pada mulanya membina kapal di luar negara dilihat telah melangkaui pelan ini.
Tambahan pula, negara telah pun memiliki hak cipta reka bentuk Meko 100 yang boleh digunakan untuk TLDM pada masa hadapan.
Perkara ini dibangkitkan Ahli Parlimen Tanah Merah , Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang merupakan bekas Timbalan Menteri Pertahanan.
“Saya mencadangkan kepada Kementerian Pertahanan membina LMS ini berdasarkan rekabentuk kapal NGPV yang sedia ada demi menyelamatkan masa dan kos pembinaan daripada memperolehi jenis-jenis kapal yang ditawarkan dalam pasaran sekarang ini,” katanya pada 15 Februari lalu.
Pun begitu, reaksi umum terhadap industri pertahanan negara terutamanya menyentuh kapal dilihat agak begitu sensitif. Sudah tentu kisah LCS perlu dilihat sebagai satu ubat yang pahit perlu ditelan oleh semua termasuk pemain industri memandangkan ia telah meninggalkan satu kesan yang agak besar di kalangan masyarakat.
Air Times melihat sendiri luahan umum sama ada di ruang komen dan juga private messaging yang menggesa kerajaan untuk membina LMSB2 di luar negara.
Malah, ahli parlimen Lumut telah membangkitkan kepada kerajaan untuk memberi peluang kepada industri pertahanan tempatan dalam perolehan kapal baharu ini.
Soalan beliau telah disambut oleh Menteri Pertahanan yang menyatakan beliau telah menerima arahan daripada Perdana Menteri untuk memastikan perolehan LMSB2 yang diumum semasa pembentangan Bajet 2023 dilaksanakan dengan segera.
“Saya diarahkan oleh Perdana Menteri untuk pergi ke Turkiye. Untuk berunding dengan rakan sejawatan saya dan juga agensi pertahanan negara di sana untuk kita mendaftarkan interest cadangan kita,
“Dan kita lihat bagaimana perundingan ini boleh kita buat segerakan agar perolehan LMSB2 dibuat secara telus yang mungkin,
“Kita tidak akan menggunakan 3rd party tetapi urusan antara kerajaan dengan kerajaan,” katanya semasa menyampaikan Penggulungan Belanjawan Tahun 2023 (Peringkat Dasar) Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat pada 8 Mac lalu.
Selain itu, beliau menyatakan LMSB2 mempunyai keupayaan tempur anti permukaan dan anti pesawat – antara perkara yang tidak terdapat pada 4 buah LMS yang diperolehi dari China sebelum ini.
Namun begitu, LMSB2 untuk menjadi lebih berkeupayaan merupakan kehendak TLDM sebagai pengguna akhir. Pada masa yang sama, LCS perlu disiapkan demi memastikan keupayaan angkatan pertahanan laut negara setara dengan ancaman semasa.
Apakah bentuk perubahan 15-to-5 yang akan kita lihat kelak daripada situasi ini? Kita tunggu dan lihat.