MANILA, 23 Mac – Ketua Penasihat Undang-Undang Filipina, Juan Ponce Enrile telah mengusulkan agar kerajaan negara itu untuk meminda perlembagaan yang melarang larangan senjata nuklear.
Menurut beliau, larangan yang termaktub dalam Perlembagaan 1987 itu dilihat sebagai “peruntukan undang-undang yang paling tidak diingini”.
“Kita perlu hapuskan larangan yang telah digubal oleh kerajaan pimpinan Cory (Corazon Aquino) terhadap negara ini dan rakyatnya bagi menghalang kewujudan senjata nuklear dalam Filipina,
“Pada pendapat saya, peraturan ini adalah serius dan paling tidak diingini dalam Perlembagaan,” kata Enrile yang dipetik oleh agensi PNA.
Beliau menambah, pemilikan senjata nuklear telah menjadi faktor cegah rintang yang digunakan oleh beberapa buah negara kecil untuk melindungi diri mereka.
Jelas bekas Ketua Senat Filipina yang berusia 99 tahun itu, pemilikan senjata nuklear mampu menjadikan negara republik kepulauan itu digeruni.
“Sekiranya kita mampu, kita perlu memiliki senjata nuklear agar rakyat kita tidak akan dipijak,
“Malah, mereka tidak akan dipandang remeh atau dijadikan sebagai hamba oleh negara lain,” katanya.
Artikel II Seksyen 8 Perlembagaan Filipina memperuntukkan larangan kewujudan senjata nuklear dalam negara itu.
“Filipina, selaras dengan kepentingan nasional, mengamalkan dan meneruskan dasar bebas dari senjata nuklear di dalam wilayahnya,” kata Perlembagaan 1987 yang digubal oleh semasa pemerintahan Presiden ke-11 Filipina, Curazon C. Aquino. – airtimes.my