KUALA LUMPUR, 21 Mac – Menjadi Panglima Tentera Darat (PTD) sewaktu negara berdepan dengan penularan wabak COVID-19 merupakan salah sesuatu perkara yang luar biasa dan akan diingati sepanjang masa.
PTD ke-28, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain menyifatkan pengalaman menguruskan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) ketika berhadapan pandemik itu sesuatu yang amat berharga dan berbangga kerana warganya dapat membantu kerajaan menangani dengan jayanya.
Beliau berkata, sejak penubuhan TDM 90 tahun lepas, belum pernah lagi mana-mana PTD menghadapi situasi berkenaan.
Justeru, katanya ini merupakan antara pencapaian terbaik TDM dalam membantu kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19, di bawah kendalian beliau sewaktu menjawat jawatan tertinggi TDM.
“Saya rasa TDM banyak menyumbang bakti sewaktu COVID-19 dan jasa tidak kira apa jua operasi sama ada dalam Op Penawar mahupun Op Benteng. Saya rasa banyak lagi yang TDM laksanakan. Saya harap perkara sebegini tidak berlaku lagi,
“Setiap era pemerintahan mesti ada sesuatu yang luar biasa berlaku seperti situasi Lahad Datu pada tahun 2013, lepas itu kita berhadapan COVID-19 pula pada 2020,
“Kita tidak tak tahu apa yang bakal berlaku pada pasa akan datang, namun kita (TDM) sentiasa bersiap siaga dalam apa jua keadaan,” katanya pada sidang media Perbarisan Penghargaan PTD ke-28 di Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.
Sepanjang 2 tahun 9 bulan pemerintahanya, beliau meluahkan rasa berpuas hati dan berasa bangga dengan setiap pencapaian TDM dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat khususnya semasa situasi sukar seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan COVID-19.
“Kita yakin, anggota kita mampu memberikan perkhidmatan dengan sebaik mungkin. Saya bangga dengan keadaan itu,
“Apa sahaja tugas melibatkan TDM kita tetap tunaikan, tidak kira perkara tersebut sesuai dengan tugas sebenar sama ada bina jambatan atau misi operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Batang Kali, TDM tetap akan membantu,
“Saya berpuas hati dan sangat berterima kasih pada anggota TDM di bawah pimpinan saya kerana memberikan kerjasama sewaktu saya berkhidmat,” katanya lagi.
Zamrose turut melahirkan rasa syukur kerana segala pelan dan perancangan yang dirangka sewaktu beliau menyandang jawatan PTD, hampir semuanya dapat dilaksanakan dengan jaya tanpa sebarang masalah.
Sementara itu, Zamrose berharap agar penggantinya yang bakal menerajui TDM, meneruskan mana-mana usaha atau pelan yang baik untuk TDM.
“Selain itu perancangan yang masih belum dilaksanakan harus dibuat analisis serta dikaji semula untuk ditambah baik demi kepentingan TDM di masa akan datang,
“Saya berharap segala urusan TDM antaranya berkaitan hala tuju, perancangan, perolehan aset sentiasa dipermudahkan,
“Kebajikan Tentera Darat juga perlu diutamakan. Kalau moral anggota TDM ini berada dalam keadaan tidak baik, kita bagilah secanggih mana pun sistem persenjataan, ia sukar dilaksanakan,
“Kebajikan TDM harus diteruskan dari semasa ke semasa,” kata Zamrose.
Terdahulu, Zamrose telah menyaksikan perbarisan yang berkonsepkan Perbarisan Istiadat dengan melibatkan 12 detasmen gabungan yang diadakan sebagai penghargaan dan penghormatan terakhir kepada Zamrose yang akan mula bercuti pada 23 Mac 2023 sebelum menamatkan perkhidmatan pada 21 September 2023.
Turut hadir sama, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Staf Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.
Zamrose telah ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 24 Januari 1981 dan jawatan pertama beliau adalah Ketua Platun di Batalion Ke-8 Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD), Kuala Lipis, Pahang.
Beliau menjawat jawatan sebagai Panglima Tentera Darat Ke-28 bermula 11 Jun 2020 setelah mengambil alih tampuk pemerintahan TDM daripada Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Haji Mohd Nawawi (Bersara).-airtimes.my
Galeri gambar: