KUALA LUMPUR, 17 Mac – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) terus memperkukuhkan keselamatan maritim di perairan Selat Melaka melalui pelaksanaan Operasi Patrol Koordinasi Malaysia-Indonesia (OP PATKOR MALINDO) Siri 159/23 mulai 1 hingga 14 Mac lalu.
Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) memaklumkan, operasi gabungan itu melibatkan Kapal Diraja (KD) MAHAMIRU dan KD BADIK yang mewakili TLDM.
Manakala Kapal Republik Indonesia (KRI) BARAKUDA dan KRI TORANI pula mewakili TNI-AL dalam pelaksanaan operasi kali ini yang melibatkan 3 fasa iaitu fasa perancangan serta pembukaan, fasa rondaan dan fasa penutup.
“Operasi tersebut merupakan rondaan koordinasi bersama yang turut bertujuan untuk memupuk kesepaduan dan kesefahaman bersama mengenai kepentingan pemeliharaan tahap keselamatan maritim disamping mengukuhkan keyakinan komuniti maritim terutamanya di perairan Selat Melaka,” jelas MPA Barat dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, majlis penutup dilaksanakan pada 13 Mac lalu dan telah disempurnakan oleh Ketua Staf Markas Wilayah Laut 3 iaitu Kept Erman Shahril Adlan TLDM di Dewan Tun Rahah.
Turut hadir Komandan Satuan Tugas (DANSATGAS), Kolonel Laut (P) Tony Sundah dan Ketua Gugus Tugas (KGT) TLDM, Kdr Abdul Hamid Abu Bakar TLDM.
“Selain itu, antara pengisian aktiviti lain semasa fasa penutup adalah Kunjungan Hormat, sukan persahabatan dan diakhiri dengan Majlis Malam Mesra bagi mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua angkatan laut sahabat,” jelas kenyataan itu lagi.
Terdahulu, Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Farizal Myeor bersama Panglima Komando Armada 1, Laksamana Muda TNI-AL Erwin S. Aldedharma telah menyempurnakan Majlis Pembukaan di Pangkalan Utama TNI Angkatan Laut I (Lantamal I) Belawan, Indonesia pada 1 Mac 23 yang lalu.-airtimes.my