SANDAKAN, 16 Mac – Seramai 653 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 7 menerusi Pelabuhan Sandakan, semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua PATI warga negara Filipina berkenaan sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar serta Tawau.
“Mereka dihantar ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menggunakan pengangkutan laut,
“Semua yang dipindahkan membabitkan seramai 439 lelaki, 145 wanita dan 69 kanak-kanak yang berusia antara 23 bulan hingga 12 tahun ke bawah manakala bagi dewasa dari 13 hingga 68 tahun,
“Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa serta penjaga masing-masing. Semua tahanan pada kali ini diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Mengulas lanjut, SH Sitti Saleha menyatakan, semua PATI berkenaan ditahan di Depot Imigresen selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
Jelsanya, semua hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
“Oleh itu,semua warganegara asing diingatkan agar memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah terlebih sebelum masuk ke Sabah,
“Semua agensi penguatkuasaan di negeri Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,
“JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan termasuk proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” jelasnya lagi. -airtimes.my