KUALA LUMPUR, 15 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Islamofobia dan semua tindakan kebencian serta keganasan terhadap individu berdasarkan agama atau kepercayaan mesti ditolak.
Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa secara konstruktif dan kolektif bagi mencapai tujuan berkenaan.
“Malaysia dengan sepenuh hati menyertai masyarakat dunia dalam memperingati “Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia” pada 15 Mac,
“Ini bukanlah suatu hari yang patut diraikan tetapi merupakan hari untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dunia dan keperluan tindakan untuk menangani Islamofobia,” katanya menerusi hantaran di laman Faceboknya, hari ini.
Tambahnya, umat Islam seluruh dunia akan menyambut ketibaan Bulan Ramadhan yang penuh mulia dalam masa terdekat.
Justeru, beliau turut menyeru semua rakyat mengamalkan kesederhanaan selaras dengan pelaksanaan Malaysia Madani dan menolak ideologi ekstremis dalam menyambut bulan mulia ini. -airtimes.my