Home Semasa Parlimen: Kebebasan bersuara bukan bermakna boleh ganggu gugat ketenteraman awam

Parlimen: Kebebasan bersuara bukan bermakna boleh ganggu gugat ketenteraman awam

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Kerajaan tidak menghalang kebebasan mana-mana individu bersuara namun ia tidak boleh dijadikan sebagai salah satu platform untuk penyebaran tomahan atau fitnah sehingga boleh menggugat ketenteraman rakyat.

Timbalan Menteri Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Teo Nie Ching berkata, setiap tindakan menerusi media sosial perlu berpandukan undang-undang dalam negara.

“Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau Akta 588 tidak pernah mengehadkan kebebasan bersuara sepertimana yang termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan selagi mana penggunaan media elektronik tidak melanggar peruntukan di bawah Akta 588 khususnya di bawah Seksyen 211 dan 233,

“Kebebasan bersuara tidak bermaksud seseorang individu boleh membuat tomahan, fitnah dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap institusi raja mahupun memperlekeh agama atau berbaur perkauman,” katanya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Alor Star, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang bertanyakan pendirian kementerian terhadap kebebasan bersuara dalam berpolitik dalam kalangan generasi muda di medium media sosial.

Tegas Ahli Parlimen Kulai itu juga, kebebasan bersuara yang ada tidak boleh disalah guna sehingga mengganggu ketenteraman rakyat.

“Platform seperti Facebook, Tiktok, Youtube, Instagram dan WhatsApp menjadi trend kepada generasi muda untuk ekspirasikan idea dan kritikan khususnya berkaitan isu politik,

“Bagaimanapun, kebebasan bersuara yang diberikan perlu dilimitasi agar tidak menyentuh sensitiviti yang boleh menjejaskan keharmonian negara,

“Setiap warganegara di Malaysia termasuk generasi muda bebas untuk menyatakan pandangan dan kritikan namun, ianya mempunyai had dan batas tertentu selagi mana tidak melanggar undang-undang negara,” jelasnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!