Home Pertahanan dan Keselamatan Bot kargo tempatan ditahan, cuba seludup 6 PATI dari Filipina

Bot kargo tempatan ditahan, cuba seludup 6 PATI dari Filipina

by Nurulhuda

SANDAKAN, 13 Mac – Sebuah bot kargo tempatan yang cuba membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Sandakan, petang semalam.

Pengarah APMM Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot kargo terbabit ditahan sekitar jam 4.30 petang pada kedudukan sekitar 0.3 batu nautika barat daya Pulau Libaran.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikemudi tekong lelaki warga tempatan berumur 42 tahun disyaki melakukan perjalanan dari Pulau Boan, Filipina menuju ke Sandakan.

“Hasil pemeriksaan pasukan menggeledah mendapati, terdapat 3 penumpang lelaki di antara umur 35 hingga 63 tahun dan 3 penumpang wanita berumur antara 22 hingga 60 tahun berada di atas bot,

“Seorang daripada penumpang yang diperiksa merupakan pemegang pas IMM13 manakala 5 lagi warga Filipina yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati lesen bot yang membawa PATI berkenaan telah tamat tempoh,” jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

Zainudin menjelaskan, bot beserta kesemua penumpang dan tekong ditahan serta diiring ke Jeti Zon APMM Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Sabah 2002. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!