KLUANG, 11 Mac – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain hari ini menyatakan Tentera Darat Malaysia (Tentera Darat) akan memperolehi 4 buah helikopter Black Hawk.
Beliau menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan ucapan bersempena Majlis Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat Ke-28 dan Hari Ulang Tahun Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) ke-28 di Kem Mahkota, Kluang, Johor.
“Dengan cadangan dan sokongan dari PUTD, kita telah dapat meyakinkan pihak Kementerian Pertahanan Malaysia untuk mendapatkan 4 buah lagi Blackhawk,” katanya.
Menurut beliau, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia memaklumkan bahawa proses perolehan tersebut hanya menunggu fasa meterai Surat Setuju Terima (SST).
“Insya Allah Mei dan bulan Jun, Black hawk akan diterima dan berkhidmat dengan PUTD,” kata Zamrose yang memetik makluman dari Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.
Panglima Tentera Darat menegaskan perolehan helikopter Black Hawk ini adalah berdasarkan kehendak dan keperluan yang disuarakan oleh warga PUTD.
Terdahulu, Zamrose menyempurnakan perasmian penubuhan Rejimen 883 PUTD.
“Pasukan ini bertanggungjawab menentukan pengoperasian dan penyelenggaraan pesawat md530g dilaksanakan sebagaimana yang dirancang,
“Dengan tertubuhnya 883 PUTD ini, diharap akan membantu meningkatkan keupayaan dan keberkesanan pasukan udara tentera darat dalam pencapaian visi dan misinya,” kata Zamrose.
Tentera Darat telah menerima 6 buah helikopter MD530G pada 10 Februari 2022. Menurut Panglima Tentera Darat, perolehan helikopter ini telah melonjakkan keupayaan taktikl udara pasukan ini dalam memberi bantuan tembakan yang berkesan. – airtimes.my