Home Semasa Kes Jana Wibawa: Siasatan bebas campur tangan, tidak bermotif politik – SPRM

Kes Jana Wibawa: Siasatan bebas campur tangan, tidak bermotif politik – SPRM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan siasatan terhadap beberapa individu berhubung program Jana Wibawa bebas campur tangan mana-mana pihak dan tidak bermotifkan politik.

Menerusi satu kenyataan, SPRM menjelaskan, siasatan dijalankan adalah inisiatif berasaskan maklumat dan bukti diperoleh sendiri suruhanjaya itu.

“Segala kertas siasatan yang dilengkapkan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya,

“Proses siasatan adalah bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak,” jelas SPRM.

Justeru, tohmahan mengatakan siasatan SPRM atas arahan pihak tertentu dan bermotifkan politik adalah tidak benar sama sekali serta menjejaskan imej suruhanjaya ini.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan bagaimana Jabatan Peguam Negara membuat keputusan untuk mendakwa dirinya lebih awal sedangkan beliau belum memberi sebarang kenyataan kepada SPRM.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, beliau mengetahui tindakan untuk mendakwa dirinya sudahpun diputuskan oleh kerajaan walaupun siasatan belum dilengkapkan.

“Mereka hanya menggunakan agensi penguat kuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka. Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang.

“Saya sudah berkecimpung dalam politik selama 50 tahun dan sepanjang tempoh itu, tiada sebarang kesalahan yang saya lakukan,” tegasnya lagi.

Muhyiddin, 76 berdepan dakwaan dengan mengunakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden BERSATU, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu dan 3 syarikat.

Bagi 3 lagi pertuduhan, Muhyiddin selaku presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM195 juta yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik BERSATU pada 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu dan minta untuk dibicarakan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!