KUALA LUMPUR, 9 Mac – Seorang anggota kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG) dilaporkan telah menyerah diri kepada pihak keselamatan Filipina.
Marajan Majang Asiri merupakan antara individu yang terdapat dalam senarai 20 individu warga asing yang dikehendaki oleh ESSCOM pada tahun lalu.
Kesemua individu yang tersenarai terlibat dalam kegiatan jenayah di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone).
Menurut laporan oleh agensi media Filipina, Majang telah menyerah diri bersama 22 individu dari kumpulan ASG pada akhir minggu lalu.
“23 pengganas telah menyerah diri pada tengah hari Sabtu kepada pihak berkuasa Filipina di Indanan, Sulu,
“Mereka menyerah diri berikutan kempen yang dipertingkatkan oleh kumpulan petugas tempatan yang mahu menamatkan konflik setempat,” lapor PNA yang memetik kenyataan Kolonel Richard Verceles, Ketua Operasi Polis Kawasan Pemerintahan Barat Mindanao.
Laporan tersebut turut menyatakan sebanyak 10 laras senjata api yang merangkumi 2 raifal M16 dan 8 M1 Garand telah diserahkan oleh anggota kumpulan pengganas terbabit.
“Mereka yang telah menyerah diri akan menjalani kaunseling dan ditempatkan dalam tahanan 100th Infantry Battalion Tentera Darat Filipina sebelum dibenarkan kembali ke masyarakat,” kata Verceles.