Home Pertahanan dan Keselamatan Anggota saya mati, aku pikul mayat dia…Tapi apa jadi pada pencen dia? – MP Ketereh

Anggota saya mati, aku pikul mayat dia…Tapi apa jadi pada pencen dia? – MP Ketereh

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=fCutNvzQYOI[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Sekali lagi Ahli Parlimen dari blok pembangkang membangkitkan isu pelarasan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perkara itu disuarakan oleh  Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) ketika bangun mencelah penggulungan Belanjawan 2023 oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, semalam.

Khlir pada itu menceritakan pengalamannya ketika berkhidmat bagi menzahirkan kekecewaan veteran ATM yang masih menanti janji pelarasan pencen yang ditawarkan sejak sekian lama, seolah-olah pengorbanan mereka ketika melawan pengganas komunis satu masa dahulu tidak dihargai.

“Saya pernah bertempur dengan komunis. Seorang daripada anggota saya mati. Aku pikul mayat dia. 2 pengganas komunis mati,

“(Tapi) apa jadi pada penyelarasan pencen dia? Kebanyakan mereka ini yang berkhidmat semasa darurat dah berumur 70 tahun ke atas sekarang. Jadi mereka ini ternanti-nanti,

“Bajet besar atau tidak, kita kena selesaikan juga benda ini menteri. Tolonglah saya,” katanya, menyebabkan suasana Dewan Rakyat sepi seketika.

Sementara itu, menjawab celahan tersebut, Mohamad memberi jaminan isu berkenaan menjadi fokus Kementerian Pertahanan, dan kini pihaknya sedang berusaha merangka formula yang sesuai untuk membolehkan penyelarasan pencen veteran ATM dapat diselesaikan.

Menurutnya, penyelarasan pencen ini bakal mencecah berbilion ringgit dan kerajaan sedang mencari mekanisma lain untuk merealisasikan masalah tersebut.

“Kami sedang mencari formula kerana kami tak mahu sekadar hantar saja, kemudian ditolak. Kita nak melihat isu ini diselesaikan. Kalau tak dapat banyak, sikit pun tak apalah, asalkan dapat,

“Pada masa sama, kita turut usahakan dengan cara lain juga. Kita telah cadangkan dan dijangka akan lulus, supaya penambahan jumlah bilangan penerima bantuan sara hidup bulanan RM300 kepada veteran ATM, sama ada berpencen atau tidak berpencen, dinaikkan daripada 9,000 ditambah kepada 15,000 penerima,

“Tapi penerima kebanyakannya adalah mereka yang berusia 80 tahun ke atas dulu dan yang layak. Ini sedang kita lakukan sementara menunggu buah ini (penyelarasan pencen) masak dan dapat dimakan, kita buat perkara-perkara sampingan yang boleh kita lakukan dibawah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV ATM) dan Kementerian Pertahanan,” ujarnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!