Home Semasa 2 individu tumpas, dadah bernilai RM282,464 dirampas

2 individu tumpas, dadah bernilai RM282,464 dirampas

by Muaz Rizqi

GEORGETOWN, 9 Mac – Polis Pulau Pinang merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM282,464 serta menahan 2 individu selepas membuat serbuan di kawasan sekitar Batu Uban Gelugor, pada, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Polis Soffian Santong berkata, tangkapan tersebut melibatkan seorang lelaki yang berumur 45 tahun dan seorang perempuan yang berusia 42 tahun.

“Soffian berkata, hasil pemeriksaan terhadap perempuan tersebut telah menemui paket plastik yang mengandungi dadah syabu seberat 310 gram yang bernilai RM31,000,

“Selepas menjalankan soal siasat terhadap suspek, pihak polis telah membuat serbuan ke sebuah kondominium di kawasan Gelugor dan menjumpai 7 paket plastik dadah jenis syabu seberat 6,489 gram bernilai RM233,604,

“Selain itu, 9 ketulan mampat daun kering ganja yang dibalut seberat 6,288 gram dan 5 paket plastik lutsinar berisi daun kering jenis ganja seberat 856 gram turut ditemui,” katanya pada Rabu.

Tambah beliau, jumlah berat keseluruhan dadah jenis ganja ialah seberat 7,144 gram dan bernilai RM17,860.00.

“Kes disiasat di bawah seksyen 39B ADB 1952 yang boleh membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 15 sebatan bagi pesalah yang disabit kesalahan,

“Kedua-dua tangkapan ditahan reman mengikut seksyen 117 kanun prosedur jenayah bermula 6 Mac 23 sehingga 12 Mac 23 untuk siasatan,” jelasnya lagi.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing ke atas tangkapan mendapati perempuan tersebut negatif dadah manakala lelaki tersebut positif dadah jenis methamphetamine dan THC serta kedua-duanya mempunyai jenayah lampau bersabit dadah, ujarnya.

Tambahnya, keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 46,743 orang penagih dadah.

“Pihak polis juga telah menyita barang kemas bernilai RM12,800 dan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan sebanyak RM306,264,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus berusaha membanteras dan menggempur sindiket pengedaran dadah secara habis-habisan bagi memastikan aktiviti pengedaran dadah dilumpuhkan sepenuhnya. -airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!