KUALA LUMPUR, 8 Mac – Malaysia dan Indonesia dijangka menandatangani Perjanjian Lintas Batas (BCA) dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan susulan ibu kota baharu negara jiran itu, Nusantara di Kalimantan dibangunkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara tersebut dijangka akan ditandatangani ketika lawatan Presiden Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia pada tahun ini.
Menurutnya, ketika ini, kedua-dua pihak dalam proses menyemak beberapa perkara utama khususnya berkaitan ancaman keselamatan terutama penyeludupan manusia dan dadah.
“Pertama, mesti libatkan kerjasama 2 negara. Dalam kes ini di antara Malaysia dan Indonesia. Sekarang kita dalam fasa pembikinan memuktamadkan satu perjanjian dipanggil CBA,
“Dari segi carta perbatuan atau milestone, ia dijangka akan ditandatangani apabila Presiden Indonesia, Joko Widodo melawat Malaysia tahun ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dari Ahli Parlimen Lubok Antu yang ingin mengetahui tentang langkah proaktif yang diambil kerajaan untuk meningkatkan tahap keselamatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dan kawasan sekitarnya terutama membabitkan aset penting negara yang berdekatan Malaysia-Indonesia.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, 3 perkara sedang dimuktamadkan dalam proses semakan kementerian itu.
“Benar, apabila kita buka pintu keluar masuk di sempadan, ia terkait dengan isu keselamatan, penyeludupan manusia, penyeludupan dadah, penyeludupan senjata dan ancaman keselamatan yang lain,
“Jadi apa ikhtiar kita, pertama, senarai pintu masuk iaitu yang sedia ada, yang diwartakan dan kemungkinan pintu masuk baharu yang mesti dipersetujui,
“Perkara ini sekarang sedang dimuktamadkan dalam perjanjian yang sedang dalam pembikinan,” katanya lagi.
Saifuddin berkata, perkara kedua pula memperlihatkan Malaysia dan Indonesia juga sedang memuktamadkan kawasan akses untuk rakyat kedua-dua negara.
“Apabila pintu masuk dibuka, aliran keluar masuk rakyat di dua negara ini akan berlaku. Di situlah kalau tidak berhati-hati, ada potensi memungkinkan ancaman atau pelanggaran peraturan,
“Kedua-dua negara sedang berunding untuk memuktamadkan kawasan di mana penduduk dua negara dibenarkan berada,” jelasnya.
Saifuddin menambah, perkara ketiga adalah semakan terhadap elemen perundangan dan menegaskan aspek keselamatan negara menjadi keutamaan kerajaan meskipun pintu sempadan dibuka selepas semua ketiga-tiga perkara tersebut telah dimuktamadkan.
Sementara itu, beliau berkata bilangan pengembara di pintu masuk Sabah dan Sarawak dijangka akan mengalami peningkatan ketara susulan pembukaan Nusantara, ibu negara baharu negara itu di Kalimantan Timur.
Justeru, beliau berkata kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk meningkatkan keupayaan ICQS serta prasarana lain.
Tambahnya, kerajaan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM194 juta bagi membina dan menaik taraf beberapa ICQS serta pos kawalan imigresen di sekitar sempadan Sarawak. -airtimes.my