KUALA LUMPUR, 6 Mac – 3 buah kapal Tentera Laut Diraja Thailand (Royal Thai Navy, RTN) tiba di Tambatan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Pulau Indah pada hari ini.
Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam satu kenyataan berkata, ketiga-tiga kapal dari angkatan laut negara jiran akan berlabuh di negara ini selama 4 hari.
“Lawatan operasi oleh RTN selama empat hari ini adalah sempena program Royal Thai Naval Cadet Unit (RTNCU) yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada seramai 349 pegawai kadet TLDT tentang komuniti tentera laut negara sahabat yang merupakan salah satu silibus latihan mereka,
“Di samping itu, lawatan ini juga adalah untuk ulang bekal logistik dan istirahat kepada semua warga RTN,
“Turut sama mengikuti pelayaran ini adalah Rear Admiral Preediwat Diloknoranart, Deputy Commandant Royal Thai Naval Academy,” kata kenyataan itu.
HTMS NARESUAN (FF 421), HTMS BANGPAKONG (FF 456) dan HTMS PATTANI (OPV 511) tiba di Tambatan Pangkalan TLDM Pulau Indah (TPPI) pada pukul 9 pagi.
Ketibaan ketiga-tiga kapal ini disambut oleh Pengarah Bahagian Operasi di Markas Tentera Laut, Kepten Nasrol Hakim Jamludin TLDM.
Menurutnya, terdapat beberapa program telah dirancang bersempena dengan lawatan ini.
“Antara programnya ialah Kunjungan Hormat ke atas Ketua Pengarah Hidrografi Nasional, Laksamana Muda Dato’ Hanafiah Hassan dan Panglima Pendidikan dan Latihan TLDM, Laksamana Muda Dato’ Anuar Mohamed,
“Kedua-dua kunjungan hormat ini adalah bagi mengukuhkan lagi hubungan yang telah terjalin sekian lama antara kedua-dua Tentera Laut,
“Selain itu, majlis resepsi turut akan diadakan di atas kapal HTMS NARESUAN pada sebelah malamnya,” kata kenyataan itu.
HTMS NARESUAN (FF 421) adalah kapal jenis Frigat daripada Kelas NARESUAN di bawah pemerintahanan Captain Yos Keawkamnerd dengan kekuatan 172 orang.
HTMS BANGPAKONG (FF 456) pula adalah kapal jenis Frigat Kelas CHAO PHRAYA di bawah pemerintahan Captain Sirapop Thananuntachod dengan kekuatan 147 orang.
Sementara itu, HTMS PATTANI (OPV 511) adalah kapal jenis Offshore Petrol Vessels di bawah pemerintahan Commander Samart Heebsaisong dengan kekuatan 96 orang. – airtimes.my