SANDAKAN, 2 Mac – Seramai 492 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina dihantar pulang ke negara asal mereka dalam satu program pemindahan melalui Pelabuhan Sandakan, Selasa lalu.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, ia melibatkan seramai 368 tahanan lelaki, 88 tahanan wanita dan 36 tahanan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.
Jelasnya, kesemua tahanan terlibat dipindahkan melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menggunakan Feri MV Antonia 1.
“PATI yang dihantar pulang kali ini hanya melibatkan tahanan warganegara Filipina dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Sandakan dan Depot Imigresen Tawau sahaja,
“Mereka yang ditahan di Depot Imigresen ini telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut beliau, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua warga asing agar memiliki dokumen perjalanan sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.
“Semua agensi penguatkuasaan di negeri ini akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,
“Operasi pemindahan ini merupakan sebahagian daripada operasi berterusan JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Sabah,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, pihaknya akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan serta proses perundangan termasuk mendapatkan pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing. -airtimes.my