JOHOR, 2 Mac – Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd) melaksanakan Operasi Murni di beberapa daerah di Johor yang dilanda banjir sejak Selasa lalu.
Markas 7 Bgd memaklumkan, anggota dari Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) telah diaturgerak bagi membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Kluang.
“Selain itu, anggota 5 RAMD juga membantu pelajar yang menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan guru ke pusat peperiksaan di sekitar kawasan Kluang,” jelas Markas 7 Bgd menerusi hantaran di media sosialnya.
Menurut 7 Bgd, di Segamat, pasukan Rejimen Keempat Artileri Diraja (4 RAD) telah membantu membawa kertas peperiksaan SPM ke Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi, Labis dan membantu mangsa banjir yang terjejas pindah ke PPS yang berdekatan.
“Manakala di Kota Tinggi, Pasukan Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD) telah membantu mangsa banjir berpindah ke PPS di KTJ Kota Tinggi,
“Begitu juga di Daerah Batu Pahat dan Muar, pasukan Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD) telah membantu memindahkan mangsa banjir ke PPS yang berhampiran,” tambah hantaran itu.
Selain itu, jelas pihak 7 Bgd, usaha murni ini diteruskan lagi dimana pasukan Rejimen Kedua Artileri Diraja (2 RAD) turut diaturgerak untuk membantu di Daerah Pontian dan Kulai bagi membantu mereka yang terjejas akibat bencana banjir.
“Selain itu, pasukan-pasukan juga melaksanakan misi mencari mangsa banjir yang terkandas di kawasan-kawasan yang terputus hubungan dan dinaiki air serta membantu pentadbiran di PPS,
“Aktiviti ini selaras dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam,” ujar pihak 7 Bgd.
Sehingga jam 8 pagi ini, mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 25,213 orang daripada 7,013 keluarga, yang dipindahkan ke 187 pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah yang terjejas.
Ia berbanding 9,167 penduduk daripada 2,760 keluarga, yang dipindahkan ke 90 PPS di enam daerah terjejas banjir, 8 malam tadi. -airtimes.my