KUALA LUMPUR, 2 Mac – Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) telah menghantar surat permohonan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, surat permohonan itu telah dihantar kepada Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan salinan kepada Timbalan Pengerusi yang juga Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau.
Menurutnya, keputusan itu tidak dibuat berseorangan, sebaliknya mendapat persetujuan Majlis Eksekutif Pusat (MEP) PEJUANG dalam mesyuaratnya 2 hari lalu.
“Keputusan ini telah disepakati MEP selepas meneliti dan menilai semua opsyen gabungan atau kerjasama politik yang ada,
“Perjuangan PN adalah sesuai dengan mandat yang kami perolehi dari Perhimpunan Agung PEJUANG kali ke-2 baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mukhriz turut menjelaskan keputusan MEP adalah hasil daripada pertimbangan yang telah dilaksanakan termasuk untuk mengelakkan daripada pertindahan kerusi pada pilihan raya nanti.
“Adalah tidak memadai jika kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya diwujudkan hanya untuk tujuan mengelak daripada pertindihan kerusi yang ditandingi, lebih-lebih lagi jika lambang berasingan digunakan oleh kedua pihak yang berpakat,
“Kedua, lebih menguntungkan semua pihak jika Pejuang menyertai PN dan bertanding menggunakan lambang PN, yang bermakna kesepakatan parti itu dengan PN tidak terhad hanya kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung Jun ini, tetapi juga untuk jangka masa panjang,
“Ketiga, penyertaan PEJUANG sebagai anggota komponen PN adalah untuk memastikan tiada perpecahan undi Melayu dalam pilihan raya yang mendatang,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Mukhriz berharap kepimpinan PN akan mempertimbangkan dan memberi respon yang positif kepada permohonan parti itu.
Pada PRU lalu, PEJUANG yang salah satu gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) kalah di semua 125 kerusi yang dipertandingkan.
Lebih malang lagi apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan keluar dari parti itu bersama 12 ahli lain, sekali gus meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi PEJUANG pada pada 10 Februari.
Kemudiaan, Mukhriz mengumumkan PEJUANG menarik diri daripada GTA dan terbuka untuk berunding dengan mana-mana pihak untuk meneroka kerjasama politik bersama. -airtimes.my