KUALA NERANG, 2 Mac 23 – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Markas Briged Keenam Infantri Malaysia (6 Bgd) merampas 11 guni putih berisi daun ketum yang dianggarkan bernilai RM20,900 dipercayai cuba diseludup ke Thailand, hari ini.
Pihak 6 Bgd memaklumkan, 11 guni putih berkenaan ditemui oleh pasukan yang beroperasi ditinggalkan di tepi jalan menuju Kem Sahara.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati 11 guni putih tersebut berisi daun ketum dengan berat keseluruhan 550 kilogram (kg) yang bernilai RM20,900.00,
“Kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” jelas pihak 6 Bgd menerusi satu hantaran di Facebook rasmi, pada Khamis.
Tambah hantaran itu, pihaknya akan meneruskan tugas dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti tinggi bagi memastikan persempadanan negara terus terpelihara dari sebarang aktiviti yang boleh mengancam kedaulatan negara. -airtimes.my