Home Pertahanan dan Keselamatan Roboh rumah keluarga berusia 50 tahun, kemudian bina baru – Ikmal Hisham

Roboh rumah keluarga berusia 50 tahun, kemudian bina baru – Ikmal Hisham

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Kementerian Pertahanan (MINDEF) disaran untuk merobohkan rumah flat 4 tingkat sedia ada di dalam kem-kem seluruh negara dan membina Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu.

Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berkata, sudah tiba masanya supaya Kerajaan atau MINDEF menimbang dan menilai semula cadangan membaik pulih rumah-rumah RKAT sedia ada yang sudah berusia lebih 50 tahun serta tidak lagi kondusif untuk diduduki.

Jelasnya, kediaman yang diroboh itu perlu dibina dengan keluasan yang lebih selesa bersama kemudahan moden lebih kondusif.

“Pembinaan itu perlu merangkumi dewan serba guna, taman permainan kanak-kanak, ruangan mesra orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas bersama sistem perparitan dan kumbahan yang lebih moden,” jelasnya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau mempersoalkan apakah bajet berjumlah RM500 juta yang diumumkan oleh Kerajaan ini akan turut melibatkan ubahsuai dan renovasi flat 4 tingkat yang sudah usang dan tidak relevan lagi untuk diperbaiki?.

“Sekiranya ada, bolehkah peruntukan ini digunakan untuk membina RKAT yang baharu yang lebih lestari untuk kemudahan anggota tentera?,” ujarnya.

Justeru itu, beliau mencadangkan supaya MINDEF mencontohi kaedah pelaksanaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Bera sewaktu beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Kanan Pertahanan bagi penyediaan RKAT untuk anggota ATM di kawasan Bukit Jalil pada tahun 2021.

“RKAT untuk anggota ATM di kawasan Bukit Jalil pada tahun 2021. Sekurang-kurangnya standard dan kualiti rumah RKAT untuk masa-masa hadapan hendaklah tidak kurang daripada blueprint RKAT yang terdapat di Bukit Jalil yang lengkap dengan pelbagai bentuk kemudahan,” tegasnya lagi.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!