[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=rbs8aIx8NkE[/embedyt]
Helikopter MD530G merupakan antara aset baharu Tentera Darat Malaysia (Tentera Darat) yang diterima pada tahun lalu.
Pesawat yang dikendalikan oleh 883 Skuadron Pasukan Udara Tentera Darat Malaysia (PUTD) ini buat pertama kalinya dipamerkan kepada umum semasa Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2022 di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas.
Walaupun tampak kecil, pesawat ini mempunyai peranan dan kuasa tembakannya yang tersendiri. Semasa LKT, helikopter ini mempamerkan kuasa tembakan 7.62mm M134D Gattling Gun dan FN Herstal 12.7mm Heavy Machine Gun Pod.
Helikopter keluaran MD Helicopters Inc ini telah diserahkan secara rasmi oleh Destini kepada Tentera Darat pada 13 Jun tahun lalu.
Penerimaan helikopter ini oleh membuka lembaran sejarah baharu PUTD yang sebelum ini mengoperasikan AgustaWestland AW109 LOH yang berperanan sebagai pesawat tinjauan ringan dan tidak dilengkapi dengan persenjataan.
AW 109 kemudiannya dipasang dengan M134D Gattling Gun sebagai helikopter penggempur ringan.
Perolehan MD530G sekaligus menambah keupayaan PUTD dari segi kuasa tembakan. Selain itu, pengoperasian helikopter ini akan menjadi platform terbaik sebagai persediaan juruterbang dan juruteknik PUTD sebelum beralih kepada helikopter tempur yang lebih lengkap dalam skala yang lebih besar.
Menurut Juruterbang MD 530G, Mejar Mohd Shukorullah Abdullah, sebelum ditugaskan untuk mengoperasikan helikopter ini, beberapa pegawai dan anggota dari 883 Skuadron PUTD telah mengikuti latihan peralihan pesawat yang dilaksanakan di Mesa, Arizona, Amerika Syarikat.
“Di sana kami diajar atau didedahkan dengan pengendalian asas untuk pesawat ini dan penerbangan taktikal,
“Selain itu kami juga didedahkan dengan latihan penembakan secara keseluruhannya,” jelasnya kepada Air Times.
Sistem persenjataan dikendali oleh juruterbang
Beliau berkata, pesawat ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana dari segi sistem persenjataan ia dikendalikan oleh juruterbang itu sendiri.
“Dalam mengendalikan pesawat ini ada sedikit perbezaan dengan AW 109 iaitu dari segi sistem persenjataan,
“Sistem persenjataan yang ada pada Agusta AW109 LOH dan MD530G adalah dari segi kongfigurasi persenjataan yang ada dan juga untuk mengoperasikan persenjataan ini adalah daripada juruterbang itu sendiri,
“Manakala untuk Agusta pula sistem persenjataan akan dikendalikan oleh kabin kru iaitu Air Quartermaster TDM,” ujarnya.
Pengganda keupayaan operasi PUTD
Dalam masa yang sama, beliau berharap, perolehan helikopter ini dapat menggandakan keupayaan pengoperasian TDM dan PUTD khususnya terutama dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Saya rasa bertuah dan juga bersyukur kerana mendapat peluang untuk mengendalikan pesawat ini untuk beroperasi pada masa-masa hadapan,
“Saya bagi pihak PUTD, kami akan melaksanakan dan menggalas tanggungjawab ini sedaya upaya untuk mempertahankan kedaulatan negara,” jelasnya lagi.
Keunikan MD530G
Sementara itu, Pegawai Kejuruteraan PUTD, Kapten Kausar Mohd Haris turut meluahkan rasa bangga kerana dapat mencurahkan bakti dengan mengoperasikan pesawat terbaru TDM bersama-sama dengan anggotanya.
Jelasnya, persiapan untuk mengoperasikan pesawat MD530G ini berlainan daripada AW109 LOH kerana ia melibatkan kemampuan kru induk dalam penerbangan MD530G ini.
“Sebelum melakukan penerbangan, kami akan menyediakan pesawat umumnya pada sistem avionik dan aero mekanikal dan selebihnya adalah pada kemampuannya iaitu sistem persenjataan. Itu yang membuatkan pesawat ini unik,” jelasnya.
Juruteknik
Sementara itu, Kausar menjelaskan, untuk persediaan pengoperasian pesawat ini, pasukannya menempatkan 4 orang juruteknik termasuk seorang pegawai kejuruteraan.
“Setakat ini, untuk ground full yang kompiten kami meletakkan 4 orang juruteknik termasuk pegawai kejuruteraan tapi untuk masa kini kita mempunyai 2 orang juruteknik aero, 2 orang juruteknik avionik dan 2 juruteknik persenjataan,
“Mereka semua inilah yang dilatih di Mexa Rexona dan akan melatih lagi ramai juruteknik di masa akan datang,
“Saya percaya semua kru akan berbesar hati dan akan menggembleng sepenuh keringat tenaga kami untuk mengoperasikan pesawat ini untuk kedaulatan negara,
“Dan kami mengharapkan rakyat Malaysia dapat menyokong kami untuk meneruskan menjaga pesawat ini di masa akan datang,” ujarnya lagi.
Sehingga kini TDM telah mempunyai 6 buah helikopter MD530G di mana, 3 diletakkan di Sabah bagi menjaga keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) manakala, 3 lagi diletakkan dibawah pasukan 881 PUTD di Kem Mahkota Kluang, sebagai persediaan serta kesiapsiagaan Tentera Darat.
Helikopter buatan AS ini dilengkapi sistem persenjataan seperti pelancar roket 70 milimeter (mm), 7.62mm M134D Gattling Gun dan pod mesingan berat 12.7 mm.
Pesawat MD530G akan berperanan sebagai helikopter tempur ringan dengan kemampuan menggempur kenderaan perisai ringan dan trup infantri selain melaksanakan tugas tinjauan udara. – airtimes.my