PUTRAJAYA, 25 Feb – Sumbangan 42 tan barangan bantuan kemanusiaan dari Malaysia kepada rakyat Syria telah tiba di Lapangan Terbang Aleppo.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata, barangan bantuan tersebut tiba pada 24 Februari.
“Penyaluran sumbangan ini adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Kesemua sumbangan ini telah dihantar menggunakan 2 penerbangan khas daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) A400M dan pesawat sewaan khas dari Persatuan Bulan Sabit Merah UAE (ERC),” kata kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Menurutnya, sumbangan kemanusian ini akan diuruskan oleh pihak Bulan Sabit Merah Syria (SARC) dan International Committee of the Red Cross (ICRC).
“Ini berdasarkan keperluan mendesak mangsa-mangsa gempa bumi hasil laporan penilaian
Pasukan Peninjau Malaysia yang telah mengadakan sesi libat urus dengan wakil kerajaan Syria serta pihak-pihak yang berkenaan dalam misi khas dari 15 ke 19 Februari 2023 yang lalu,” katanya.
Tambah Wisma Putra, Pasukan Peninjau Khas Malaysia ke Syria dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Beirut, Lebanon telah menyampaikan sumbangan awal sebuah generator berkapasiti 110kV kepada kerajaan Syria.
Sumbangan diserahkan oleh Datuk Samir AlKour, Konsul Kehormat Malaysia di Syria kepada Hussein Makhlouf, Menteri Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Syria pada 22 Februari lalu. – airtimes.my