Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Orang Islam kecam guna replika senjata adalah jahil murakkab – Abdul Hadi

Orang Islam kecam guna replika senjata adalah jahil murakkab – Abdul Hadi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Umat Islam yang mengecam penggunaan replika senjata ketika perarakan program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 disifatkan sebagai jahil murakkab.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sekiranya yang berburuk sangka itu dalam kalangan bukan Islam, biarkan ia musnah dengan kemarahan melulu berkenaan.

“Jika ada orang Islam yang risau melihat replika kayu atau plastik yang tidak boleh membunuh berada di tangan orang Islam, keadaan itu menunjukkan mereka itu sangat jahil murakkab,” katanya dalam Minda Presiden PAS yang dimuat naik menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, umat Islam adalah golongan yang paling beradab dalam menggunakan senjata kerana hukum syariat Islam telah menentukan sempadan dosa dan pahala membabitkan semua perkara.

Hal ini, katanya, berbeza sama sekali dengan agama dan ideologi ciptaan manusia yang sangat lemah sehingga menyebabkan berlaku jenayah yang tidak terkawal termasuklah sanggup membunuh diri sendiri.

“Islam mengharamkan senjata pemusnah seperti bom atom dan senjata nuklear yang lebih ganas daripada binatang,

“Selain itu, Islam juga mengharamkan jenayah membunuh diri sendiri dan orang lain kerana dihitung dalam perkiraan dosa besar yang keras hukumnya di dunia dan di akhirat,” ujarnya lagi.

Selain itu, beliau turut mengingatkan, orang ramai diingatkan dengan layanan pilih kasih penjajah terhadap umat Islam sehingga diharamkan untuk membawa pedang kayu.

Tegasnya, begitulah sikap penjajah terhadap negara Islam di seluruh dunia, tidak terkecuali juga di Malaysia.

“Perkara sebegitu dilakukan di Palestin ketika dijajah British supaya mereka menyerahkan tanah air kepada Yahudi mengikut terma Perjanjian Balfour 1917,

“Mereka sendiri dalam keadaan bersenjata, tetapi sebaliknya rakyat Palestin pula diharamkan memiliki senjata. Oleh itu, dikuatkuasakan undang-undang yang mengharamkan senjata, sehinggalah kepada senjata yang paling kuno, seperti pedang, keris dan lain-lain,

“Alasan yang digunakan kononnya bertujuan menjaga keamanan dan keselamatan, pada masa yang sama mereka mengganas terhadap rakyat dengan semua senjata yang dimiliki,

“Maka, jelas sekali bahawa alasan menjaga keselamatan itu hanyalah untuk diri mereka sahaja, tidak bagi umat Islam,

“Pada zaman penjajah dahulu, polis Melayu diberikan senjata belantan kayu, manakala polis berbangsa Inggeris pula diberikan pistol. Demikianlah umat Islam begitu sekali dihina,” tambahnya.

Beliau berkata demikian selang beberapa hari selepas PAS dikritik berkenaan isu perarakan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT 2023) yang mengenakan pakaian perang dan replika senjata sehingga mencetuskan persoalan orang ramai.

Penggunaan replika pedang dan kostum pakaian tentera Islam berkait perarakan pada program HIMPIT 2023 Jumaat lalu mencetuskan polemik di media sosial.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyifatkan penganjuran perarakan bersama replika senjata dalam satu perhimpunan terbuka adalah tidak wajar dan mengundang keresahan awam.

Bagaimanapun, penganjur program HIMPIT 2023 menjelaskan, perhimpunan seluruh jentera Pemuda PAS Terengganu hanyalah sebagai sebahagian dari memenuhi tema perarakan mereka.

Manakala, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menghantar kertas siasatan berhubung Himpit kepada pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya telah melengkapkan siasatan setelah mengambil keterangan 36 individu melibatkan penganjur dan peserta program.

Pihaknya masih menunggu arahan selanjutnya daripada PPN dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 14 Akta Hasutan Kesalahan Kecil 1955. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply