KUALA LUMPUR, 24 Feb – Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara tersebut dalam pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Menurutnya, sebanyak RM350 juga akan disalurkan kepada pesara kerajaan dan bayaran akan dibuat pada bulan April ini.
“Kerajaan silih berganti, pemimpin negara kerap bertukar, tetapi penjawat awam sebagai tulang belakang Kerajaan setia menggalas amanah negara. Ke arah Malaysia Madani, penjawat awam perlu segera bawa perubahan, menerapkan pembaharuan dengan matlamat akhir menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara,
“Dalam kita melangkah ke bulan Ramadan serta bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam, Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak,
“RM350 juga akan disalurkan kepada pesara Kerajaan. Insya-Allah, bayaran akan dibuat pada bulan April 2023,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, kerajaan turut bersetuju untuk memberi elaun khas RM100 sehari kepada semua ahli pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara yang terlibat dalam misi di Turkiye dan Syria.
“Elaun ini adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan ke atas jasa besar yang diberikan atas nama kemanusiaan,” katanya. -airtimes.my