KUALA LUMPUR, 24 Feb – Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) untuk mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria kini mencecah hampir RM11 juta sejak dilancarkan pada 10 Febuari lalu.
Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini memaklumkan, ia merupakan kutipan tertinggi pernah dicatatkan untuk tabung berkenaan.
“Kementerian Luar Negeri berbesar hati dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan dalam membantu meringankan beban mangsa-mangsa bencana gempa bumi di Turkiye dan Syria melalui TBKLN,
“Memandangkan sumbangan yang diterima amat menggalakkan, Kementerian Luar telah mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh kutipan TBKLN sehingga 31 Mac 2023,” jelas Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Wisma Putra sekali lagi mengalu-alukan orang ramai, kumpulan korporat dan perniagaan serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus menyalurkan sumbangan melalui akaun TBKLN (Affin Islamic Bank Bhd – 1054 9000 0599).
Sumbangan yang dibuat layak dituntut sebagai potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
Bagi tujuan rekod dan pengeluaran resit, penderma diminta mengemukakan butiran sumbangan melalui pautan https://tinyurl.com/yck9tnen.
Sebarang pertanyaan lanjut, boleh dikemukakan kepada Sekretariat TBKLN melalui emel [email protected].
Sehingga kini, angka rasmi terkini, lebih 46,000 orang terbunuh di Turkiye dan Syria akibat bencana yang melanda pada 6 Februari itu.-airtimes.my