KUALA LUMPUR, 23 Feb – Ahli Parlimen Semporna, Datuk Shafie Apdal hari ini mempersoalkan komitmen kerajaan dalam menangani isu kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya dari segi tempat tinggal mereka di kem tentera di seluruh negara.
Memandangkan cabaran keselamatan global yang semakin meningkat, beliau berkata, kerajaan harus memberi tumpuan kepada keselesaan dan kebajikan anggota tentera agar dapat berkhidmat dengan sebaiknya.
Beliau turut mempersoalkan adakah kerajaan mempunyai cadangan atau langkah yang lebih baik untuk mengatasi isu kebajikan ini.
“Kita boleh beli kapal selam, kita boleh beli peralatan yang berharga berbilion ringgit, tetapi semasa saya menjadi Timbalan Menteri Pertahanan, saya ingat hanya ada satu bilik,
“Di situlah bilik ibu bapa, di situlah anak hendak belajar, jadi, bayangkanlah,
“Sebab itu saya bertanya adakah Kementerian Pertahanan mempunyai perancangan untuk memastikan peruntukan yang mencukupi untuk isu ini,” semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen turut membangkitkan isu sedemikian kepada Kementerian Pertahanan berhubung kebajikan anggota tentera termasuk veteran ATM.
Ia termasuklah soal penginapan serta kadar pencen yang diibaratkan sebagai lapuk dan tidak selari dengan keperluan semasa.
Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri Pertahanan dan Timbalannya memberi keutamaan tentang isu kebajikan warga ATM di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Ketika saya melawat kem di Lok Kawi, Semporna, sedih saya melihatnya,
“Semasa saya jadi ketua Menteri, saya juga ada memberi peruntukan untuk membantu mereka,” ujarnya lagi. -airtimes.my