CELIKHAN, 21 Feb 23 – Hospital Medan Malaysia (HMM) di Turkiye buat pertama kalinya berjaya melakukan pembedahan dengan melibatkan seorang pesakit wanita tempatan yang berusia 48 tahun.
Markas Angkatan Bersama (MK AB) menerusi hantaran di laman media sosialnya memaklumkan, pesakit tersebut mengalami patah tulang pada lengan kiri akibat kecederaan semasa bencana gempa bumi yang lalu.
Menurut MK AB, pembedahan ortopedik ini berjaya dilaksanakan tanpa komplikasi oleh Pakar Bedah Ortopedik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel (Dr) Nazran Ramlan dan tim dewan bedah HMM.
Sebelum ini, Bernama melaporkan, HHM yang beroperasi di Celikhan, Aditaman, terletak kira-kira 152 kilometer dari Gaziantep telah merawat seramai 164 pesakit sejak dibuka 14 Februari lepas.
Komander Op Starlight 2, Brigedier Jeneral Datuk Dr. Amran Amir Hamzah memaklumkan, cuaca sejuk melampau yang mencecah -10 darjah Celsius pada waktu malam memberi cabaran tersendiri kepada warga ATM terlibat dalam pengoperasian hospital berkenaan.
Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan motivasi anggota untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga Turkiye yang terjejas akibat gempa bumi.
Rawatan yang disediakan mencakupi rawatan pesakit luar, ibu mengandung dan ginekologi, kanak-kanak, pembedahan am, ortopedik dan pergigian.
Hospital berkenaan dijangkakan akan beroperasi di Celikhan selama 6 minggu dengan menempatkan seramai 106 pegawai dan anggota petugas ATM.-airtimes.my