Home Pertahanan dan Keselamatan Isu LCS antara soalan pembuka Sidang Parlimen hari ini

Isu LCS antara soalan pembuka Sidang Parlimen hari ini

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Isu perolehan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) merupakan antara soalan yang akan dijawab semasa Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan rakyat hari ini.

Soalan diajukan oleh Ahli Parlimen Lumut, Komander Nordin Ahmad Ismail TLDM (Bersara) kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Nyatakan langkah-langkah ke hadapan Kementerian dalam mengatasi isu projek LCS untuk TLDM yang semakin meruncing yang mana ia menjejaskan perancangan Transformasi 15-to-5 TLDM,” kata Nordin menurut Aturan Urusan Mesyuarat Parlimen untuk 20 Februari 2023.

Menteri Pertahanan dijangka akan menjawab 2 soalan tambahan selepas menyatakan jawapan kepada soalan terbabit.

Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 yang mula berlangsung semenjak 13 Februari lalu menyaksikan beberapa wakil rakyat membangkitkan isu tersebut semasa sesi perbahasan Titah Diraja.

Wakil rakyat Ketereh, Dato’ Khlir Mohd Nor pada minggu lalu menyatakan TLDM ‘menuju ke arah pasukan tentera laut yang daif’ semasa mencelah perbahasan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanah Merah, Dato; Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz bertanyakan sama ada Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) mempunyai strategi tersendiri dalam mengatasi  isu yang timbul dari kelewatan LCS.

“Umum mengetahui bahawa projek pembinaan littoral combat ship (LCS) akan mengambil masa yang agak panjang sehingga aset tersebut dapat disiapkan sepenuhnya oleh pihak Boustead Naval Shipyard (BNS),

“Namun ini tidaklah bermakna pihak kementerian hanya duduk sahaja dan berpeluk tubuh menantikan perkembangan projek ini,” katanya.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan turut memohon penjelasan dari MINDEF berhubung keputusan pengurangan perolehan kumpulan pertama LCS kepada 5 buah berbanding 6 yang dirancang sebelum ini.

Dalam sesi perbahsan Titah Diraja pada 15 Februari lalu, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim pula meminta jaminan kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam skandal LCS.

“Saya hendak sebut di sini, mohon jaminan daripada pihak kerajaan di dalam Dewan yang mulia ini bahawa semua pesalah yang terbabit di dalam skandal LCS ini tidak akan dilindungi di atas apa-apa kepentingan politik semata-mata, akan dihadapkan ke mahkamah pengadilan sesegera mungkin,” katanya.
LCS merupakan salah satu daripada 5 komponen pelan Transformasi 15-to-5 TLDM. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply