KUALA LUMPUR, 17 Feb – Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman hari ini menerima kunjungan hormat rakan sejawatannya dari Indonesia, Laksamana TNI Muhammad Ali.
Lawatan ini merupakan lawatan pertama Kepala Staf Angkatan Laut (KASAL) Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL) ke negara ini semenjak dilantik untuk menerajui pasukan itu pada 28 Disember lalu.
Menurut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Malaysia merupakan destinasi pertama oleh Muhammad Ali dalam melakukan kunjungan pengenalan.
“Satu fakta menarik mengenai pertemuan kali ini adalah kedua-dua panglima tersebut berkepakaran Kapal Selam dan pernah mengetuai angkatan kapal selam masing-masing,” kata TLDM di akaun media sosial rasminya.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua panglima tentera laut telah berbincang mengenai topik semasa berkenaan pertahanan dan keselamatan maritim serantau.
Seperti yang kita ketahui, Abdul Rahman merupakan Panglima Tentera Laut ke-18 dan memulakan kerjaya beliau sebagai submariner semenjak 1993. Pada ketika itu, Abdul Rahman telah menamatkan latihan kapal selam di HMAS PLATYPUS, Australia.
Abdul Rahman seterusnya menjalani Latihan Pengenalan Kapal Selam di Sweden pada tahun 1995 dan di Perancis pada tahun 1999 serta berjaya menamatkan Kursus Asas Kapal Selam (AGOSTA Class) pada tahun 2006 di Perancis. Beliau pernah dilantik sebagai Panglima Angkatan Kapal Selam TLDM.
Sementara itu, Muhammad Ali pernah bertugas di beberapa buah kapal selam TNI-AL iaitu KRI PASOPATI dan KRI NANGGALA. – airtimes.my