Home Pertahanan dan Keselamatan Sewa atau beli kapal terpakai dari Singapura isi kelompongan keupayaan TLDM?

Sewa atau beli kapal terpakai dari Singapura isi kelompongan keupayaan TLDM?

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz bertanya sama ada hubungan baik Malaysia dengan negara anggota Aturan Lima Kuasa Pertahanan (FPDA) dan ASEAN akan membuka pintu jalan penyelesaian kelompongan keupayaan kombatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Adakah kekuatan hubungan luar Malaysia khususnya dengan negara-negara besar melalui FPDA iaitu UK, Australia, New Zealand dan Singapura mahupun rakan-rakan ASEAN dapat memberi kita peluang untuk membuat pembelian atau sewaan aset kapal kombat terpakai negara-negara tersebut untuk 5 tahun terdekat,

“Ini memandangkan kapal kombat amat-amat diperlukan oleh TLDM dalam mengawal perairan laut dan maritim Malaysia,” katanya dalam perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Dalam perbahasan yang sama, Ikmal menyatakan beliau ingin tahu sama ada Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) mempunyai strategi untuk mengisi kekurangan yang dihadapi oleh TLDM sementara Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang pertama siap.

Beliau menegaskan usaha untuk mengisi kelompongan (stop gap measure) keupayaan kapal kombatan TLDM adalah penting. Ini memandangkan kapal kombatan adalah antara keperluan yang mustahak angkatan laut negara.

“Dalam mengawal perairan laut dan maritim Malaysia, usaha stop gap measure sangatlah penting berdasarkan kepada perubahan terkini cabaran keselamatan maritim negara,

“Tambahan lagi, TLDM perlu mengatur gerak aset laut yang mengerunkan untuk kita berdepan dengan kehadiran kapal-kapal asing di kawasan zon maritim negara kita,” kata bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!