KUALA LUMPUR, 16 Feb – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencadangkan agar petugas yang terlibat dalam operasi mangsa gempa bumi di Turkiye diberikan elaun khas serta penganugerahan pingat sebagai mengenang jasa pengorbanan mereka.
Beliau menyatakan perkara tersebut ketika Sesi Penerangan Menteri-Mentri Berhubung Lawatan Ke Turkiye di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menjelaskan, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Perbendaharaan bagi menetapkan jumlah elaun yang bersesuaian mengikut tempoh penugasan anggota terbabit.
“Bagi menambah makna kepada penghargaan petugas ini, kerajaan akan mengeluarkan Sijil Penghargaan kepada setiap petugas,
“Kemudian saya usulkan supaya mereka dianugerahkan dengan pingat khidmat khusus untuk semua yang bertugas,
“Dan saya mencadangkan untuk aturkan elaun khas kepada setiap mereka yang berkhidmat. Elaun khas itu berdasarkan hari mereka berkhidmat di sana,” jelasnya.
Anwar juga memaklumkan, sehingga kini lebih 200 petugas rakyat Malaysia telah diaturgerakkan ke Turkiye dalam melaksanakan misi tersebut.
Pasukan ini terdiri daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (SMART, NADMA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kor Kesihatan DiRaja Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Antara NGO-NGO yang terlibat dibawah misi ini ialah MERCY Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.
Dalam pasa itu, beliau turut menyampaikan ucapan penghargaan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi menzahirkan solidariti dan semangat persaudaraan rakyat Malaysia dengan rakyat Turkiye berikutan bencana yang melanda negara itu.
Jelasnya, kerajaan Turkiye turut menzahirkan penghargaan kepada Agong, kerajaan dan Parlimen Malaysia atas bantuan, ucapan takziah berikutan bencana gempa bumi itu.
Menurutnya, rakyat boleh berbangga dengan kesungguhan, kecekapan dan tahap profesionalisme yang tinggi sewaktu pengoperasian pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di kawasan tersebut kerana telah menunjukkan pengorbanan dan keupayaan yang ternyata luar biasa.
“Pihak kerajaan juga ingin mengucapkan rasa terima kasih kepada semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan berkaitan berdasarkan kepada solidariti dan keprihatinan rakyat Malaysia dalam membantu mereka yang terjejas di Turkiye,
“Ucapan penghargaan dan terima kasih juga ingin saya sampaikan kepada seluruh rakyat Malaysia, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan, individu dan semua pihak yang telah memberi sumbangan dalam apa jua bentuk sekalipun,” tambahnya lagi.-airtimes.my