OSLO, 16 Feb – Ukraine dilaporkan bakal menerima 8 buah kereta kebal Leopard 2 dari Norway.
Kementerian Pertahanan Norway dalam satu kenyataan berkata, pemberian kepada Kyiv turut disertakan dengan 4 buah kenderaan armor khusus melalui pakej bantuan untuk negara Timur Eropah itu.
“Norway turut menyediakan peruntukan untuk peluru dan alat ganti,” kata Menteri Pertahanan Norway, Bjørn Arild Gram.
Menurut kenyataan itu, keputusan untuk mendermakan kenderaan armor tersebut dibuat selepas satu dialog diadakan dengan ketua tentera dan negara Eropah lain.
“Peperangan di Ukraine semakin menghampiri fasa kritikal dan mereka memerlukan bantuan serta sokongan yang sewajarnya,
“Norway akan menyumbangkan latihan kepada kru kereta kebal Ukraine di Poland bersama-sama dengan negara sekutu lain,
“Sumbangan sebegini adalah penting dan diperlukan oleh Ukraine,” kata Gram.
Norway sebelum ini menyatakan komitmen mereka untuk berganding bahu dalam menyampaikan bantuan derma kereta kebal kepada Ukraine.
“Pihak kerajaan telah meneliti dan berpuas hati bahawa derma ini tidak menjejaskan tahap kesiagaan pertahanan Norway dan juga komitmen kepada NATO,” jelas kenyataan itu. – airtimes.my