JELI, 15 Feb – Tindakan 2 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Thailand yang cuba menyeludup keluar buah kelapa sawit telah ditahan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di sempadan Malaysia-Thailand, semalam.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) dalam kenyataan berkata, tangkapan tersebut berlaku di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).
“Pasukan beroperasi yang sedang melaksanakan rondaan berjalan kaki telah mengesan serta menahan 2 orang awam (lelaki) yang mencurigakan di kawasan Ladang Kelapa Sawit RISDA Kampung Perawas,
“Hasil pemeriksaan mendapati 2 orang awam tersebut yang berumur 22 dan 31 tahun adalah warga Thailand yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan memasuki Malaysia bertujuan untuk menyeludup buah kelapa sawit ke Thailand,” jelasnya dalam kenyataan.
Menurutnya, turut dirampas adalah sebilah sabit, sebilah parang, sebuah beg galas dan 4 tandan buah kelapa sawit dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM 200.00.
“Seterusnya, PATI tersebut diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli,” tambahnya lagi.
Tegasnya, pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan di sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penyeludupan khususnya kemasukan PATI. -airtimes.my